Siakap Keli

Kes Denggi Di Ipoh Makin Membimbangkan, Meningkat Lebih 200 Peratus

Ipoh: Kes demam denggi di Perak khususnya bandar raya Ipoh semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan lebih 200 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata laporan menunjukkan bagi tempoh Januari hingga 13 Jun, sebanyak 888 kes direkodkan berbanding 262 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

“Peningkatan itu adalah sebanyak 626 kes atau 238.9 peratus dan satu kematian direkodkan berbanding sifar (kematian) untuk tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Buntong di sini, hari ini.

Ahmad Saidi berkata bagi tempoh tersebut, sebanyak 93 lokaliti wabak direkodkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Beliau berkata, peningkatan kes denggi yang ketara disebabkan faktor cuaca dan kekangan pihak berwajib khususnya Unit Kawalan Vektor MBI untuk menjalankan aktiviti pembersihan disebabkan penularan wabak COVID-19.

Ahmad Saidi berkata bermula 10 Jun lepas, semua aktiviti kawalan kembali dilaksanakan dengan tumpuan seperti pasar awam, taman rekreasi, stesen pengangkutan awam, pusat pelancongan, kompleks pasar raya dan tanah perkuburan.

“Kita berharap orang ramai meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi melakukan aktiviti pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Semoga dengan penglibatan semua pihak secara menyeluruh dapat membantu pihak berkuasa negeri dalam usaha mengurangkan kes demam denggi khususnya di kawasan pentadbiran MBI,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.