Siakap Keli

Sepuluh Tahun Tunggu Rumah Baharu

BALIK PULAU, 18 Jun  — Impian seorang ibu tunggal untuk memiliki sebuah rumah akhirnya tercapai, apabila permohonan yang dibuat sejak sepuluh tahun lepas di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tahunan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah diluluskan.

Sukuriah Rashid, 56, berkata, meskipun permohonan terdahulu tidak berjaya, dirinya reda dan menganggap bahawa tiada rezeki untuk mereka memiliki rumah ketika itu.

“Saya mendapat khabar gembira apabila pegawai pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang menghubungi saya, memaklumkan bahawa permohonan saya telah berjaya kira-kira dua minggu lepas… saya bersyukur sangat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak pembinaan rumahnya di Kampung Permatang Pasir, di sini hari ini.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia 18 tahun itu berkata, rumah kediaman yang kini didiaminya sejak tahun 1964 itu adalah rumah pusaka, yang sudah uzur dan mempunyai banyak kerosakan yang boleh mendatangkan risiko kepada mereka dua beranak, jika kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu ADUN Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim, menyerahkan pelan rumah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bernilai RM48,000 kepada Sukuriah, yang dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Sementara itu Zolkifly berkata, pada tahun ini, pihaknya telah memberi bantuan rumah kepada tiga penerima termasuk Sukuriah (Permatang Pasir), manakala dua penerima lagi di Gertak Sanggul dan Sungai Burung, di bawah projek berkenaan.

“Perancangan untuk tahun hadapan, kami bercadang untuk membuat permohonan tambahan kepada kerajaan persekutuan bagi tambah 20 buah rumah (di Parlimen Balik Pulau) melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Bantuan sedemikian diharap dapat meringankan beban rakyat termiskin di sini, yang memerlukan kediaman yang selesa untuk keluarga,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha