Siakap Keli

Tiga Pembantu Penguat Kuasa Mengaku Tidak Bersalah Minta, Terima Rasuah

KOTA KINABALU, 19 Jun  — Tiga penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemilik kedai runcit yang dikatakan melakukan kesalahan berhubung kawalan harga barangan.

Mohamad Nazri, 38, Tonny Ramlee, 40, dan Rosdeh Likum, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh didakwa sebagai Pembantu Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Beaufort, telah secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai sebanyak RM600 daripada pemilik kedai runcit.

Wang tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pemilik kedai runcit itu yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga 1993.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jack Trading, Lot 24, tingkat bawah Lo Chung Park dalam daerah Beaufort, antara pukul 12.25 dan 12.50 tengah hari, 14 Julai 2017, mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua pula, pada masa dan tarikh yang sama, mereka dengan niat bersama telah secara rasuah meminta satu suapan wang tunai RM600 daripada pemilik kedai runcit itu mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman yang serupa.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Michael Joimin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Mohamad Amirul Amin.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.