Sebuah kilang membuat yong tau fu di Pudu, Kuala Lumpur telah diarahkan tutup ekoran beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, premis tersebut dikesan dalam satu operasi pemeriksaan dan lawatan oleh Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL pada semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati keadaan premis mempunyai urungan lipas, lantai serta dinding proses penyediaan kotor dan berdaki hitam.
“Selain itu, premis berkenaan turut tidak menyediakan tempat pencucian peralatan dan kerja mencuci di atas lantai,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, makanan yang telah dimasak juga dibiarkan terdedah, selain peti sejuk beku kotor dan tidak kemas serta tempat penyimpanan bahan mentah turut berada dalam keadaan kotor.
Sehubungan itu, tindakan Penutupan Premis Tidak Suci di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan berkuatkuasa 20 Jun, hari ini.
Sumber: DBKL