Siakap Keli
Kredit gambar: FalakOnline

Rakyat Malaysia Berpeluang Saksikan Gerhana Matahari Separa Petang Esok

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Malaysia bakal menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa pada 21 Jun (esok), bermula sekitar pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang.

Memetik kenyataan FalakOnline, fenomena ini berlaku selang enam (6) bulan selepas kali terakhir dapat disaksikan di Malaysia pada 26 Disember 2019 lalu.

Difahamkan, Gerhana Matahari Separa kali ini adalah yang terakhir kita dapat saksikan dalam masa terdekat.

Selepas ini, kita terpaksa menunggu selama tiga (3) tahun, iaitu pada 20 April 2023 nanti untuk dapat menyaksikan sekali lagi lintasan bayang-bayang bulan merentasi Malaysia.

Apakah jenis gerhana matahari kali ini?

Gerhana kali ini dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa.

Ia bermaksud hanya sebahagian daripada bentuk piring atau jasad matahari akan terlindung oleh bulan.

Di negara-negara seperti Afrika tengah, semenanjung Tanah Arab, Pakistan, India, Nepal, China dan Taiwan, penduduk di sana akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin.

Di bawah ialah simulasi pergerakan bulan di hadapan matahari dari Kuala Lumpur nanti.

Waktu terbaik menyaksikan gerhana berlaku

Di Malaysia, secara amnya ia akan bermula sekitar jam 2:30 petang dan tamat sekitar jam 5 petang bagi anda di Semenanjung.

Bagi di Sabah pula, ia bermula sekitar jam 3 petang dan tamat sekitar 5:30 petang

Waktu kemuncak gerhana akan berlaku antara jam 3:50 hingga 4:30 petang bergantung kepada lokasi.

Untuk dapatkan waktu yang paling tepat untuk lokasi anda, sila klik pada peta janaan Xavier M. Jubier ini.

Di bawah ialah peta gerhana bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta Brunei. Bagi anda di Singapura, waktunya adalah hampir sama dengan Johor Bharu.

Nombor yang dipaparkan itu menunjukkan peratusan piring Matahari yang akan terlindung. Waktu yang dipaparkan ialah waktu kemuncak gerhana.

Peta ini merujuk kepada ibu negeri sahaja. Jika anda berada berhampiran, waktunya ialah lebih kurang sama.

Rujuk link peta janaan Xavier M. Jubier di atas untuk waktu yang lebih spesifik dengan lokasi anda.

Sumber: FalakOnline
Sumber: FalakOnline

Sementara itu, Bahagian Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan berkongsi melalui halaman Facebook beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dari sudut syariat.

Ia menyentuh mengenai hukum, sejarah pensyariatan, permasalahan serta kaifiyat berkenaan fenomena tersebut seperti yang dijelaskan dalam infografik di bawah ini.

Waktu gerhana yang berlaku pada pukul 2.53 petang seperti di atas adalah merujuk kepada waktu di Negeri Sembilan.

Manakala di bawah ini adalah penerangan tentang kaedah / kaifiyat melaksanakan solat sunat gerhana matahari serta bacaannya.

.

 

Di manakalah lokasi terbaik untuk cerapan Gerhana Matahari ini?

Merujuk kepada info di FalakOnline, lokasi terbaik untuk melihat gerhana ini ialah di mana-mana kawasan yang boleh nampak Matahari.

Kita kena ingat, waktu keseluruhan gerhana ini nanti akan berlangsung lebih kurang 2 jam 30 minit.

Maka, pastikan laluan matahari di langit dari kawasan anda itu tidak ada halangan seperti bangunan, bumbung atau pokok. Seeloknya carilah kawasan yang lapang.

Jika anda mahu lihat peratusan gerhana yang paling banyakKudat di Sabah adalah antara lokasi yang paling baik. Di sana, hampir 37% Matahari akan terlindung.

Apakah cara paling selamat untuk kita lihat gerhana ini?

Seperti mana yang kita tahu sebelum ini, matahari adalah amat terang dan amat berbahaya untuk dilihat secara terus dengan mata. Silap haribulan anda boleh mengalami kecacatan KEKAL di mata, malah boleh BUTA!

Maka, berhati-hatilah ketika mencerap nanti. Berikut antara kaedah mencerap yang disarankan;

  • Cermin mata matahari

Cermin Mata Matahari ialah sejenis penapis khas yang membolehkan kita melihat ke arah Matahari dengan selamat. Penapisnya berwarna hitam (black polymer) dan silver (baader). Ia selalunya sudah siap dipasang pada rangka berbentuk cermin mata yang diperbuat daripada kertas.

Jika anda sudah memiliki satu unit ketika gerhana matahari cincin yang lepas, ia masih boleh digunakan dengan syarat ia tidak terkoyak atau berlubang.

Kredit gambar: FalakOnline
  • Kaedah kamera lubang pin

Kaedah ini paling selamat kerana ia hanya membenarkan cahaya matahari yang sedikit masuk ke dalam lubang pin yang kecil. Imej yang terhasil itu tidak berbahaya dan selamat untuk dilihat.

  • Kamera (yang dipasang penapis)

Jika anda mempunya kamera DSLR, ia boleh dijadikan sebagai satu cara melihat gerhana ini, dengan syarat pastikan anda letakkan penapis matahari tadi (black polymer atau baader) di bahagian hadapan lens.

Jika tidak, cip kamera anda akan terbakar!

Sila rujuk beberapa siri video berguna mengenai cara mencerap gerhana matahari dengan selamat di dalam artikel Cara paling selamat mencerap Gerhana Matahari.

Cara yang salah mencerap gerhana Matahari!

Awas. Berikut adalah cara yang SALAH dan amat berbahaya untuk mencerap gerhana nanti. Tolong jangan buat.

  1. Filem X-Ray (hitam putih)
  2. Filem warna
  3. Cermin mata hitam seperti rayband
  4. Kaca yang digelapkan dengan asap
  5. Air dalam baldi

Berdasarkan pemerhatian ketika gerhana matahari bulan Disember lepas, masih ramai yang menggunakan kaedah di atas!

Tolong ye.. walaupun ‘kita rasa’ ia selamat, tetapi hakikatnya, cahaya UV matahari yang berbahaya tu sedang ‘membakar’ retina mata kita secara senyap-senyap!

Perubahan persekitaran ketika gerhana

Disebabkan gerhana kali ini, tak sampai separuh piring matahari yang terlindung, maka tidak banyak perubahan yang dapat dilihat berbanding gerhana cincin yang lepas.

Langit tidak akan menjadi ‘mendung’. Suhu kekal panas seperti biasa.

Namun perkara yang harus kita buat ialah melihat kesan imej Matahari yang terhasil di celah-celah daun pokok atau lubang-lubang pada kertas (kaedah lubang pin).

Kita akan nampak bentuk matahari itu berubah menjadi ‘sompek’ atau tergigit pada satu sisinya.

Kredit gambar: FalakOnline

Strim gerhana di internet

Gerhana kali ini berlaku setelah kita tamat mengharungi 3 bulan PKP dan PKPB bagi memutuskan rantaian Covid-19. Alhamdulillah sekarang kita sudah masuk dalam fasa PKPP.

Disebabkan 21 Jun kita masih baru bermula PKPP, dan penjarakan sosial serta acara yang melibatkan orang ramai masih belum boleh dibuat, maka ramai agensi dan orang perseorangan akan melakukan cerapan gerhana dan melakukan strim atau live menerusi facebook atau youtube, dari lokasi masing-masing.

Bagus juga ramai yang buat live nanti, kerana cuaca di Malaysia ini tak menentu. Maka, jika ada yang berawan, mungkin berpeluang melihatnya dari lokasi lain.

Oleh itu, penulis asal bagi artikel ini (FalakOnline) akan menjalankan cerapan secara online dari balai cerap di rumahnya.

Paparan strim akan dibuat menerusi Facebook Shahrin Ahmad Al-Shahgazer serta FalakOnline.

Selain itu, Planetarium Negara juga turut menjalankan cerapan secara online dan orang awam boleh mengikutinya secara langsung di halaman Facebook serta Instagram Planetarium Negara.

Baca: Peluang Untuk Rakyat Malaysia Saksikan Gerhana Matahari Separa 21 Jun Ini

FENOMENA GERHANA MATAHARI SEPARA 2020 (WAKTU, HUKUM, SEJARAH PENSYARIATAN, PERMASALAHAN DAN KAIFIYAT) Rakyat di Negeri…

Posted by Bahagian Falak Dan Sumber Maklumat – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan on Thursday, June 18, 2020

Sumber: Bahagian Falak Dan Sumber Maklumat – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, FalakOnline

Denin

Tukang tulis untuk rakyat jelata.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.