Siakap Keli

TERKINI: Seorang Frontliner Disahkan Positif COVID-19 Antara 21 Kes Baharu Hari Ini

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat 21 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan terkini adalah sebanyak 8,556 kes.

Berdasarkan angka tersebut, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 289 kes.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes baharu tersebut, dua (2) daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu (1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara; pemastautin tetap.

“Daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh (7) kes adalah warga asing manakala 12 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Bagi kes jangkitan dalam negara (warga asing), tujuh (7) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19, iaitu kes ke-8,498 dan kes ke-8,523. Kesemua mereka adalah rakan serumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, bagi 12 kes lagi melibatkan warganegara (tempatan), 10 kes daripadanya dikesan di Selangor, iaitu tujuh (7) kes saringan beberapa pusat tahfiz dan madrasah, satu (1) kes kluster Lanjut, Sepang dan satu (1) kes kluster warga emas Kuala Selangor yang merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8,510.

“Selain itu, satu (1) kes lagi melibatkan petugas barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di lokaliti bawah Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama.

“Sementara itu, satu (1) kes di dikesan di Negeri Sembilan, iaitu kes saringan orang kena tahan (OKT) di Seremban sebelum dipindahkan ke penjara.

“Manakala satu (1) kes lagi daripada saringan dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Kawasan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, tiada pertambahan kes kematian baharu, menjadikan angka kematian kekal 121 kes bersamaan 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.