Siakap Keli

Tiga ‘Keldai Akaun’ Termasuk Seorang Wanita Ditahan- Polis

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Seramai tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai ‘keldai akaun’ ditahan dalam operasi ‘Op Mule Account’, di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 37 tahun, ditahan pada jam lebih kurang 8.30 pagi, oleh anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil.

“Siasatan awal mendapati suspek pernah membuat pinjaman ‘ah long’, kehilangan kad ATM yang mempunyai maklumat akaun bank, menjual kad ATM bagi mendapatkan wang atau diberi upah untuk membuka akaun bank atas nama mereka sendiri.

“Kesemua yang terdiri daripada rakyat tempatan didapati sama ada sedar atau tidak, akaun bank mereka dipergunakan oleh sindiket, bagi mengaut keuntungan serta melicinkan penipuan bagi mendapatkan wang dengan mudah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sindiket kemudian akan memberikan nombor akaun bank suspek yang dijadikan ‘keldai akaun’ ini kepada mangsa bagi urusan pembayaran atau pendeposit wang, untuk pelbagai tawaran yang tidak wujud termasuk pinjaman wang, pembelian barang di dalam media sosial, menipu dalam urusan sewa bilik atau rumah.

Katanya, kesemua suspek dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tegas Nik Ezanee, pihaknya akan terus mengesan ‘keldai akaun ini’ dan sindiket berkenaan hingga ke akar umbi, untuk mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa.

Sementara itu dalam kes berasingan, seramai 12 warga asing ditahan dalam operasi di sebuah rumah, dipercayai menjalankan aktiviti pelaburan dalam talian secara haram, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya petang tadi.

Nik Ezanee berkata, ketika serbuan dilakukan pada 3 petang itu, kesemua suspek warga China berusia 26 hingga 53 tahun, termasuk enam wanita sedang sibuk mengendalikan beberapa buah komputer riba dipercayai sedang menjalankan kegiatan tersebut di ruang tamu dan bilik tidur.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemukan sebuah bilik di tingkat dua, dipercayai dijadikan studio penggambaran untuk mempromosikan skim penipuan secara langsung, disiarkan di internet,” katanya.

Berikutan itu, polis telah merampas perbagai barangan termasuk enam unit komputer riba dan satu modem pelayaran internet.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut dilakukan untuk mengetahui cara kegiatan pelaburan itu dijalankan, dan bagaimana sindiket mengaut keuntungan daripada mangsa.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha