Tular kerana menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Ipoh, seorang wanita ditawarkan pekerjaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Siti Fatimah Mohd Nor menarik perhatian netizen apabila menunggang motosikal pulang ke Ipoh bersama suaminya yang kelainan upaya (OKU).
Beliau yang merupakan isteri bekas atlet tenis paralimpik negara, Firdaus Ibrahim, telah menerima sendiri surat tawaran daripada Menteri berkenaan Datuk Alexander Nanta Linggi untuk bekerja di pejabat KPDNHEP Perak.
Beliau yang tidak menyangka rezeki tersebut meluahkan rasa syukur dan menganggap ia sebagai rezeki paling bermakna selepas pernikahan mereka.
“Memang tak sangka sangat. Saya anggap ini sebagai rezeki yang paling bermakna, selepas mendirikan rumah tangga pada bulan Ogos tahun lalu.
“Terima kasih kepada KPDNHEP kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat bersama mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis KPDNHEP Prihatin di Ipoh semalam.
Fatimah bakal melaporkan diri sebagai Pekerja Sambilan Harian di pejabat KPDNHEP Perak bermula 22 Jun ini.
Sumber: Bernama, Firdaus Ibrahim