Siakap Keli
koperal safwan
Gambar: PDRM

(Video) Sebak, Ayah & Ibu Mengalir Air Mata Terima Kenaikan Pangkat Arwah Koperal Safwan

Suasana pilu menyelubungi majlis penganugerahan pangkat buat Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail di Tanjung Rambutan, Perak semalam.

Ibu bapa Allahyarham, Encik Muhammad Ismail Othman dan Puan Norizan Mat Sani dilihat sempat menitiskan air mata sebak tatkala menerima anugerah pangkat anakanda tercinta.

Allahyarham Koperal Safwan menjadi korban pemandu mabuk dalam satu kemalangan ketika menyertai operasi sekatan jalan raya pada awal bulan lepas.

Detik pilu dan menyentuh perasaan itu dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial mereka.

Perkhabaran duka yang diterima pada hening pagi 3 Mei 2020, begitu merobek hati pasangan suami isteri, Encik Mohamad Ismail Othman dan Puan Noriza Mat Sani. Anak yang selama ini menjadi harapan dan tulang belakang keluarga, hilang sekelip mata tanpa sempat ucap perpisahan buat ayahanda serta bonda tercinta.

Tidak pernah sesekali menyalahkan takdir, malah mereka redha dengan pemergian anakanda ketika berjihad untuk negara. Namun, perasaan kedua pasangan itu sedikit kecewa kerana nyawa Koperal Safwan diragut oleh tangan si pemabuk tidak berguna.

Allahyarham Koperal Safwan terkorban selepas mengalami kecederaan parah dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki mabuk ketika menjalankan tugas sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), kira-kira jam 2 pagi, 3 Mei lalu.

Pemergian mulia

Sesungguhnya beliau hanya seorang anggota polis biasa yang ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat, namun kematian anak muda berusia 31 tahun itu diangkat begitu mulia di sisi Sang Pencipta.

Bukan sahaja keluarga, malah seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia turut bersedih dengan tragedi yang menimpa wira negara itu.

Sebagai tanda penghargaan negara dan PDRM terhadap jasa serta pengorbanan Allahyarham Koperal Safwan semasa hayatnya, satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna telah diadakan di Dewan Mes Pegawai Kanan, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.

Encik Mohamad Ismail dan Puan Noriza yang diberi penghormatan tersebut ternyata sebak apabila dijemput oleh pengacara majlis untuk naik ke pentas bagi menerima pangkat Sarjan “posthumous” secara medan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Gambar: PDRM
Gambar: PDRM

Pilu menerpa jiwa

Perasaan sayu dan pilu itu turut dirasai oleh para hadirin yang nyata masih bersedih dengan peristiwa menimpa Allahyarham.

Selain menerima kelengkapan seragam Anggota Pangkat Rendah berupa sebatang tongkat, selempang dan pangkat Sarjan yang diletakkan dalam bingkai gambar, kedua pasangan turut menerima skim ex-gratia bencana kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan faedah terbitan buat arwah anak mereka.

Turut disampaikan ialah sumbangan daripada warga PDRM sendiri yang dikelolakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sebagai keperluan buat ahli keluarga Allahyarham.

Gambar: PDRM

Dikenang sebagai wira barisan hadapan negara

Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail telah memulakan kerjayanya dalam PDRM pada 1 Mei 2009 dengan menjalani Program Latihan Asas Kepolisan selama sembilan bulan di Pusat Latihan Polis Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.

Setelah tamat menjalani latihan, Allahyarham ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum bertukar ke Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang, Selangor. Allahyarham dikenang sebagai antara wira barisan hadapan negara yang terlibat secara langsung dalam tugas sekatan jalan raya sempena Op COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar roh Allahyarham Sarjan 171555 Safwan Mohamad Ismail dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada. Al-Fatihah.

Sumber: PDRM

Amira

Love yourself.