Siakap Keli
ranking universiti
Kredit: Light Workers

Lima Universiti Malaysia Masuk Ranking 200 Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Kejayaan lima universiti penyelidikan di negara ini tersenarai dalam ranking 200 universiti terbaik dunia membuktikan bahawa pendidikan tinggi Malaysia kini bertaraf dunia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Kelima-lima universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ranking itu dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, pada 10 Jun lalu.

Mohamed Mustafa berkata ini menepati pelan strategik pengajian tinggi yang dilancarkan pada tahun 2013 dengan meletakkan sasaran pada 2015 hingga 2025 dengan kerajaan berharap meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara dengan universiti penyelidikan terbaik dunia (hab pendidikan tinggi bertaraf dunia).

Pelan itu dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pelajaran antara 2009 hingga 2015. Muhyiddin kini ialah Perdana Menteri Malaysia.

“Dan hari ini kita dapat lihat sasaran 2015-2025, Malaysia sudah berada di pertengahan jalan dan mendapat pencapaian yang sangat memberangsangkan,” katanya.

ranking universiti
Gambar hiasan. (Kredit: Bernama)

Mohamed Mustafa berkata pencapaian ini bukan hanya terbatas kepada lima pengajian sahaja dan tidak boleh lonjakkan semua pengajian dalam satu masa yang sama kerana setiap pengajian tarafnya adalah berbeza.

“Ranking pada hari ini, boleh dikatakan sembilan atau 10 universiti telah melonjak pencapaian mereka selain lima universiti penyelidikan. Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga mempunyai pencapaian baik, ada yang sudah cecah tangga 379 seperti Taylor’s University, UCSI University,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian itu adalah menyeluruh dan menunjukkan bahawa pelaburan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membuahkan hasil.

“Ranking ini bukan sekadar anak tangga meningkat, ia juga adalah satu penunjuk atau benchmark kualiti atau mutu pendidikan tinggi Malaysia. Harus diingatkan kalau mahu jadi hab pendidikan, kita mesti mampu bersaing dengan universiti terkemuka lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPT masih merancang dan mengatur bagi pembukaan sepenuhnya pengajian tinggi yang berkemungkinan beroperasi sepenuhnya tetapi hanya 1/3 pelajar sahaja yang belajar secara bersemuka kerana perlu menjaga jarakan sosial.

“Mungkin juga 2/3 pelajar, belajar secara dalam talian, mungkin minggu ini bersemuka, minggu depan belajar dalam talian, ambil giliran,” katanya mengulas mengenai perkembangan terkini pembukaan semula IPT yang ditutup berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.