Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Covid-19: Singapura Catat 218 Kes Baharu, Hanya Satu Kes Dalam Komuniti

Singapura: Singapura mengesahkan 218 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah jangkitan di negara pulau ini kepada 42,313 kes.

“Berdasarkan siasatan kami setakad ini, terdapat satu kes dalam komuniti iaitu pemegang pas pekerja. Tidak terdapat kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan tengah hari di sini hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan majoriti kes melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat Ahad, Singapura mengklasifikasi 1,823 sebagai kes komuniti, 581 kes import dan 39,691 kes pekerja asing di asrama.

Setakad tengah hari semalam, 34,942 atau kira-kira 83 peratus daripada jumlah pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Terdapat 179 kes yang disahkan masih berada di hospital pada Ahad dengan satu kes dirawat dalam unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Tambahnya lagi, 6,948 orang, yang mempunyai simptom sederhana atau secara klinikal adalah sihat tetapi diuji masih positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Setakad ini, 26 orang dilaporkan telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Satu kluster baharu dikenalpasti pada Ahad dari sebuah asrama di 242 Woodlands Industrial Park E5.

Manakala, empat kes tambahan dikaitkan dengan kluster terbesar republik ini, S11 Dormitory @ Punggol, yang mempunyai 2,774 kes disahkan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.