Siakap Keli

Jamuan Masih Tidak Dibenarkan Untuk Majlis Perkahwinan Di Rumah Ibadat

PUTRAJAYA, 22 Jun — Jamuan makan bagi meraikan majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan di dalam rumah ibadat walaupun upacara perkahwinan bukan Islam di rumah ibadat dibenarkan, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Itu antara prosedur operasi standard (SOP) upacara perkahwinan bukan Islam di rumah ibadat dan persatuan agama yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Jun lepas.

SOP itu disediakan secara bersama oleh KPN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

SOP itu merangkumi perkara-perkara penting ketika menjalankan upacara perkahwinan penganut bukan Islam seperti had maksimum kapasiti kehadiran di rumah ibadat seramai 20 orang, urusan pendaftaran perkahwinan dan upacara perkahwinan adat.

Menurut KPN, para pegawai KPN di peringkat negeri akan bekerjasama dengan JPN dan pihak kerajaan negeri bagi memantau pematuhan SOP itu serta memastikan upacara perkahwinan di rumah ibadat berjalan lancar dan selamat.

“Pemakaian SOP ini juga tertakluk kepada Garis Panduan Norma Baharu yang dikeluarkan oleh MKN, peraturan kerajaan negeri dan tarikh yang telah dipersetujui dan diluluskan kelak,” katanya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah