Siakap Keli
Gambar: Bernama

Johor Benarkan Satu Pertiga Solat Jemaah, Solat Jumaat Di Masjid Mulai Jumaat Ini

Johor Bahru: Johor hari membenarkan penambahan bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau kepada satu per tiga daripada kapasiti penuh berbanding 40 jemaah sebelum ini, berkuat kuasa Jumaat ini (26 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, solat Jumaat dan solat berjemaah lima fardu akan dilaksanakan seperti sedemikian dengan mematuhi jarakan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kebenaran ini juga meliputi solat Hari Raya Aidiladha, kata beliau sambil menambah untuk surau pula perlu mendapat kebenaran menunaikan solat Hari Raya Aidiladha daripada Kadi Daerah.

“Untuk jemaah wanita juga dibenarkan untuk solat berjemaah lima waktu  serta solat Hari Raya Aidiladha. Bagaimanapun, warga asing masih tidak dibenarkan seperti yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Sepanjang PKPP,  beliau berkata pelaksanaan aktiviti kuliah subuh dan maghrib dengan syarat tidak melebihi 30 minit serta bacaan Yasin tahlil dan surah Al-Kahfi pada setiap malam serta subuh Jumaat juga dibenarkan.

Bagaimanapun, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti ceramah perdana dan seumpamanya di seluruh premis masjid dan surau, masih tidak dibenarkan.

Menyentuh mengenai ibadah korban tahun ini, Tosrin berkata pihaknya menggalakkan agar penyembelihan dibuat di 31 pusat penyembelihan yang diberi lesen kekal dan sementara manakala urusan pengagihan daging korban dibuat di masjid dan surau.

“Bagaimanapun, bagi ahli jawatankuasa masjid dan surau yang mahu memohon permit sembelihan dan kebenaran tempat menyembelih perlu berbuat demikian dua minggu sebelum solat sunat Hari Raya Aidiladha,” kata beliau.

Permohonan permit sembelihan bagi masjid dan surau yang mempunyai tempat sembelihan perlu dikemukakan kepada Jabatan Veterinar manakala permohonan kebenaran tempat menyembelih perlu dikemukakan kepada pejabat Kadi Daerah.

Sementara itu, hanya dibenarkan 20 orang sahaja dalam satu masa dan bergilir-gilir bagi kerja-kerja menyembelih dan mengagihkan daging korban di kawasan masjid dan surau dibenarkan.

Tahun lepas, sebanyak 587 masjid dan surau diberi kebenaran untuk menjalankan ibadah korban.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.