Warga Emas Didenda RM7,000 Pandu Kereta Tidak Cermat Hingga Sebabkan Wanita Cedera Parah

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Seorang lelaki warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini kerana memandu kereta dengan tidak cermat sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal wanita, Januari tahun lepas.

Majistret Muhamad Aizat Abdul Rahim memerintahkan wanita berusia 68 itu, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Proton Saga tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang yang menggunakan jalan sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Siti Noor Hafiza Zainordin, 30, di Lebuhraya Besraya menghala ke Seri Kembangan di sini, pukul 10 pagi, 26 Jan, 2019.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang menghentikan motosikalnya di lampu merah telah dilanggar dari arah belakang oleh tertuduh sehingga tercampak di atas bonet hadapan kereta berkenaan dan wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Terdahulu, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak lagi bekerja selain menghidapi masalah kesihatan seperti sakit buah pinggang dan sakit jantung manakala Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman sewajar kerana perbuatan tertuduh menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha

Editor: syafiq halim

Dari Wiser.my