Siakap Keli
Gambar: Bernama Radio

Orang Awam Dilarang Mandi Di Pantai Tok Bali Ancaman Obor-Obor

PASIR PUTEH, 23 Jun (Bernama) – Orang awam terutama kanak-kanak dilarang bermandi-manda dan mengadakan sebarang bentuk aktiviti di Pantai Tok Bali di sini kerana dibimbangi ancaman dari obor-obor yang terdapat di pantai itu sejak beberapa minggu lepas.

Pegawai Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) Pasir Puteh, Nik Mohd Nor Nik Mat, berkata, ini berikutan terjumpanya dua ekor bangkai obor-obor yang mati terdampar di pantai itu sejak dua hari lepas.

“Lokasi pantai itu menjadi tumpuan ramai sejak akhir-akhir ini untuk aktiviti mandi-manda dan kita khuatir terkena sengatan obor-obor ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, seseorang yang tersentuh dengan spesis itu boleh menyebabkan kulit mengalami lecur, panas dan kepedihan yang memerlukan rawatan segera.

Katanya, pihaknya akan memantau sepanjang pantai itu dalam tempoh 24 jam bagi memastikan  orang awam dapat mematuhi larangan itu sehingga keadaan kembali selamat dikunjungi.

Sementara itu, pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dalam satu kenyataan memaklumkan telah memasang papan tanda kawasan rekreasi itu ditutup sementara kepada orang awam.

Seorang peniaga, Abdullah Muhamad, 49, yang menjual air minuman dan makanan ringan di kawasan berhampiran ketika ditemui berkata, beliau mendapati obor-obor berkenaan banyak terdampar di pantai itu selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right