KUALA LUMPUR, 24 Jun — Dua suspek kes bunuh seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang ditemukan mati di Jalan UP 3/1 Ukay Perdana, Ampang, semalam, telah direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail, ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara terbabit.
Beliau berkata permohonan reman dilakukan di Mahkamah Ampang mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
“Punca kematian masih belum diperolehi dan masih dalam proses bedah siasat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mangsa ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dengan separuh badan tertimbus tanah, disyaki dibunuh, berhampiran sebuah kolam tadahan hujan milik Jabatan Pengairan dan Saliran di Jalan UP 3/1 Ukay Perdana.
Mohd Azam berkata rentetan penemuan pada 1.30 tengah hari itu, polis telah menahan seorang kontraktor berusia 56 tahun dan anak lelakinya berumur 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu jengkaut bagi membantu siasatan.
Sumber: Bernama