Siakap Keli
Foto: bernama

Anggota TLDM Maut Dalam Kemalangan Semalam, Isteri Sedih Suami Tak Sempat Lihat Rumah Idaman Siap

SEMPORNA, 24 Jun – Hasrat Allahyarham Laskar Kanan PAP, Maslim Abdul  Rahim, 35, untuk melihat rumah untuk isteri dan anaknya di Kampung Sakong Kecil, Tanjung Kapor di sini siap, tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam satu kemalangan di Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Ranau, semalam.

Impian arwah itu dikongsikan isterinya, Nurfaizah Mohd Pagal, 35, dan rumah impiannya itu kini hampir 70 peratus siap.

“Arwah berfikiran panjang mengenai kehidupan kami sekeluarga selepas berpencen dan sebab itu dia mengimpikan rumah kami yang dibina di Kampung Sakong sejak dua tahun lalu itu, siap sepenuhnya.

Arwah ada tujuh tahun lagi perkhidmatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum berpencen,  dia mahu ada rumah yang selesa untuk kami anak-beranak tinggal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nurfaizah berkata seminggu sebelum kejadian, suaminya itu banyak mendiamkan diri dan jika bercakap hanya mengenai akhirat.

“Pada hari kejadian, arwah ada menelefon kira-kira pukul 11 pagi untuk bertanyakan khabar, ketika itu dia berada di Ranau.

Dia hubungi untuk tanya khabar dan sebelum menamatkan panggilan,  suami sempat  pesan supaya menjaga anak perempuan kami Nur Quratul Ain, 5,” katanya yang masih tidak menyangka itulah panggilan terakhir daripada suaminya yang disifatkan sebagai seorang penyayang.

Selesai bertelefon, Nurfaizah yang juga suri rumah itu berkata dia melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh kain serta memasak, dan selepas menunaikan Solat Zohor berlaku sedikit kejadian pelik apabila seisi rumah berbau harum.

“Saya ingat bau wangi itu dari rumah jiran, dan selepas itu saya menerima berita daripada kawan seanggota arwah mengenai kejadian itu,” katanya yang turut berkongsi bahawa arwah pada malam sebelum kejadian susah untuk tidur.

Sementara itu, Ibu Maslim,  Intan Masawah Lamjanum, 62, berkata kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada tahun 2018 ketika anaknya itu mengikuti kursus persenjataan di Kuala Lumpur.

“Arwah anak keenam daripada 10 orang merupakan anak paling rapat dengan saya, dia  anak yang baik dan sentiasa mendengar kata, kali terakhir kami berhubung melalui panggilan video pada 3 Jun lalu dan bertanya khabar kepada saya dan adik-beradiknya yang lain,” katanya yang menetap di Kota Damansara bersama anak keduanya, Zaidah, 42.

Intan bersama sembilan anak serta empat cucu tiba di Semporna pada 12 tengah hari tadi dari Kuala Lumpur.

Jenazah Maslim dijangka diterbangkan dengan Helikopter EC 725 milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk urusan pengebumian di tapak bersebelahan rumah kediaman isterinya.

Maslim adalah antara tiga anggota TLDM Pangkalan Sandakan yang terbunuh manakala seorang cedera  parah selepas trak tentera dinaiki menuju ke TLDM Sepanggar itu, terbabas di Jalan Ranau-Tamparuli pada 12.55 tengah hari, semalam.

Dua lagi rakannya yang terkorban ialah Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan; Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris manakala yang cedera parah Laskar Kanan II TLR Vincent M Orel.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang