Siakap Keli
menangis buang air besar
Kredit: Google

Normal Atau Tidak Menangis Ketika Buang Air Besar? Ini Jawapan Dari Sudut Sains

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Adakah anda salah seorang yang sering menangis ketika membuang air besar? Jika ya, anda tidak keseorangan. Ada yang mendakwa situasi ini berlaku akibat kurang serat, kurang minum air atau terlalu kuat meneran. Pun begitu, bagaimana pula dari sudut sains?

Tanpa membuang masa, mari kita baca perkongsian di laman Hello Doktor mengenai keadaan ini.

Adakah menangis semasa berak itu normal?

Sebenarnya, adalah normal untuk seseorang itu mengalirkan air mata ketika buang air besar.

Ini kerana akan berlaku interaksi di antara salur darah, otot tubuh badan serta sistem saraf kompleks pada perut dan otak setiap kali kalian duduk atau cangkung di atas jamban.

Walaupun tidak dapat dipastikan peratus orang yang mengalami fenomena ini, tiada bukti yang mengatakan ia akan mendatangkan mudarat kecuali jika ia disebabkan oleh penyakit.

Jadi jangan terlalu bimbang jika ia berlaku kepada anda okay?

Apakah punca menangis ketika buang air besar?

Ramai yang percaya bahawa ia adalah disebabkan kesakitan akibat terlalu kuat meneran. Sehingga kini, para pengkaji sedang giat menyelidik punca sebenar fenomena ini berlaku.

Namun, kebanyakan pakar telah bersetuju dengan teori yang berikut:

1.  Tekanan intra abdomen

Ini adalah teori paling utama di sebalik fenomena menangis ketika buang air besar.

Ketika otot abdomen anda mengembang dan mengempis untuk membantu tinja keluar dari kolon, ia secara tidak langsung akan memberi tekanan pada organ dan membran di sekelilingnya.

Tekanan ini bersama dengan pernafasan, akan menyebabkan ketegangan salur darah dan sistem saraf pada abdomen lantas menghantar isyarat kepada otak untuk menghasilkan air mata.

Bukan di bahagian perut sahaja, tekanan pada abdomen ini juga akan memberi kesan pada leher serta kepala lalu mengakibatkan kelenjar lakrimal tertekan dan mengeluarkan air mata.

Ini boleh terjadi walaupun dalam keadaan kita tidak sedar atau rasa sakit, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

2. Reaksi sistem saraf vagus

Para pengkaji juga percaya bahawa punca menangis ketika buang air besar adalah berkaitan dengan kedudukan sistem saraf vagus di dalam tubuh badan.

Ia adalah sistem saraf yang menghubungkan perut dengan kepala (brain-gut axis).

Ia berfungsi menghantar dan memberi isyarat daripada perut ke otak untuk menentukan reaksi tubuh badan.

Terdapat 2 jenis isyarat yang dikawal oleh sistem saraf ini iaitu:

  • Motor (pergerakan otot)
  • Sensor (perasaan emosi)
    Semasa sedang berak, sistem saraf vagus akan menyebabkan otak mendapat isyarat ‘stres’ sebelum berak dan ‘lega’ selepas berak lantas mengeluarkan air mata.

3. Efek ‘poo-phoria’

Ada satu lagi teori yang pakar percaya menjadi dalang kepada fenomena menangis semasa berak iaitu efek ‘poo-phoria’. Apakah ia?

Menurut Pakar Nutrisi Rachel Favilla, ia adalah satu keadaan di mana anda berasa suka, gembira dan puas hati selepas buang air besar.

Ia juga boleh diumpamakan sebagai perasaan khayal atau mabuk seakan anda baru sahaja mencapai orgasma ketika melakukan seks.

Terkejut dengan penjelasan kami? Tenang, ketahuilah bahawa ia adalah sesuatu yang normal!

Pun begitu, segera berjumpa doktor sekiranya air mata yang keluar semasa berak itu turut hadir bersama rasa sedih atau sakit kerana ia mungkin petanda penyakit yang memerlukan rawatan lanjutan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.