Siakap Keli

“Susahnya Hendak Bercakap Bahasa Melayu,” Peguam Luah Kecewa Anak Melayu Gagal Bertutur Fasih Bahasa Ibunda Di Mahkamah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

‘Bahasa jiwa bangsa’. Pepatah inilah yang sering digambarkan apabila menyentuh perkara berkaitan bahasa ibunda kita, iaitu Bahasa Melayu.

Sebagai anak watan yang lahir di Malaysia, sepatutnya kita semua perlu memahaminya dengan lebih mendalam serta dapat mengamalkan dalam kehidupan seharian.

Namun, sesuatu yang agak menyedihkan apabila ada anak bangsa kita sendiri tidak mampu bertutur bahasa ibunda dengan baik.

Peristiwa ini dikongsikan sendiri oleh seorang peguam, Nor Zabetha menerusi Facebooknya baru-baru ini, melibatkan satu situasi di dalam mahkamah.

Mari baca penulisannya di bawah ini:-

Gambar sekadar hiasan.

“Susahnya hendak cakap Bahasa Melayu,”

“Susahnya hendak cakap Bahasa Melayu,” kata seorang saksi berbangsa Melayu yang dilahirkan di Malaysia dan belajar di sekolah kerajaan, selepas saya tegur memintanya berbahasa Melayu.

Teguran saya kerana dia telah mengangkat sumpah dalam Bahasa Melayu dan penyataan saksi yang disediakan olehnya juga Bahasa Melayu, kemudian dia menjawab soalan-soalan saya dalam Bahasa Inggeris.

“Puan, sila berbahasa Melayu ya. Sebab puan sudah angkat sumpah dan menyediakan penyata saksi dalam Bahasa Melayu,” tegur saya. Dia mula panik.

Gambar sekadar hiasan.

Kalau di mahkamah, semuanya bergantung kepada saksi. Jika dia ingin menggunakan English, jadi dari awal lagi angkat sumpah dalam Bahasa Inggeris dan penyataan saksinya, dalam Bahasa Inggeris.

Di mahkamah juga boleh digunakan pelbagai bahasa dan jurubahasa akan disediakan. Bagi yang tidak tahu apa itu penyata saksi, ia adalah soalan yang disediakan oleh peguam saksi, manakala soalan peguam lawan tiada soalan awal disediakan. Semua soalan dari peguam lawan, perlu jawab ‘on the spot’ atas kadang saksi.

Dia cuba jawab soalan saya, dalam Bahasa Melayu. Sekejap-sekejap dia mencari perkataan. Dia letak kedua-dua tangan dikepalanya.

“Susahnya berbahasa Melayu,” tekannya lagi.

Bahasa dan tradisi yang kian pudar

Ini bukan kali pertama saya melihat orang Melayu yang memang tidak petah berbahasa Melayu. Ini juga bukan kali pertama saya jumpa Melayu, yang tak segan silu mengaku dia tidak mahir berbahasa Melayu. Banyak kali dan ramai. Hairannya, mereka orang Melayu, dibesarkan di Malaysia, didedahkan dengan segala unsur Bahasa Melayu di kiri dan kanan.

Sudah 62 tahun kita merdeka. Malaysia kian maju, bangunan gah berdiri di sana sini, sistem pengangkutan yang maju, orang kita cukup makan dan minum. Alhamdulillah negara kita memang maju.

Cuma tradisi dan budaya kita kian pudar. Anak muda tidak lagi mendengar lagu tradisi. Banyak budaya ditinggalkan. Segala kesenian dan tradisi, banyak yang ‘diam’ dan tidak lagi berkumandang di sana sini. Anak muda malu hendak mengekal tradisi. Mungkin mereka anggap tidak cool.

Kebelakangan ini juga, sudah sampai satu generasi yang malu untuk berbahasa Melayu atau mereka rasakan tidak cukup ‘classy’ jika berbahasa Melayu. Seolah-olah dipandang lekeh dan mereka rasa terlebih hebat kerana menguasai English dan tidak petah berbahasa Melayu.

Diajar pula generasi selepas mereka, untuk terus kekal tidak selesa dan tidak petah berbahasa Melayu. Mungkin juga mereka anggap cara begini, menunjukkan sosial status. Mungkin juga.

Gambar sekadar hiasan.

Saya setuju dengan belajar segala ilmu. Jangan ketinggalan. Saya juga ajar anak saya Bahasa Inggeris kerana penguasaan Bahasa Inggeris penting dalam dunia kerjaya. Perlu kuasai supaya boleh berdaya saing. Tetapi Bahasa Melayu tetap paling utama, supaya dia bangga dengan bahasa Melayu nanti. Jangan dia segan.

Bahasa juga ilmu. Tetapi jika setakat bahasa tanpa ilmu yang lain juga tidak akan menjadikan kamu lebih hebat dari lain. Ilmu sepatutnya menjadikan kamu lebih baik dan bijak bukan mendabik dada.

Bahasa kita adalah budaya kita. Budaya kita adalah permata kita. Permata yang kian pudar.

Semoga Bahasa Melayu, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Oleh Nor Zabetha.

Sumber: Nor Zabetha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.