SHAH ALAM, 24 Jun — Tabung Prihatin COVID-19 yang dilancarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 20 Mac lepas telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM248,800.60 untuk disalurkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sehubungan itu pihaknya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan serta menyokong tabung berkenaan yang telah ditutup secara rasmi pada 16 Jun lepas.
Beliau berkata menerusi jumlah kutipan itu, MAIS telah menyalurkan bantuan berupa makanan kering, peralatan perubatan kepada petugas kesihatan dan barangan keperluan am kepada pihak yang memerlukan.
“Sebanyak sembilan buah hospital di negeri ini, 10 buah pusat kesihatan daerah dan Ibu Pejabat Polis Shah Alam telah mendapat manfaat daripada sumbangan yang disalurkan menerusi Tabung Prihatin COVID-19 MAIS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahmad Shahir wang sumbangan daripada tabung berkenaan juga turut diagihkan kepada tujuh buah sekolah tahfiz di Selangor, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, rumah anak-anak yatim yang terjejas, keluarga yang terputus bekalan makanan, dan bantuan kepada peniaga kecil bukan asnaf di bawah kategori B40 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah Ahmad Shahir lagi, pengagihan dan kutipan tabung berkenaan diuruskan oleh MAIS bersama agensi dan anak syarikatnya antaranya Lembaga Zakat Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Yayasan Islam Darul Ehsan.
“MAIS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Wakaf Selangor dan Wakaf Selangor Muamalat yang turut memberi sumbangan ke Tabung Prihatin COVID-19 MAIS
“Tidak ketinggalan, semua agensi dan Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor yang turut menyokong penubuhan Tabung Prihatin COVID-19 MAIS, semoga dengan sumbangan dan keprihatinan semua pihak akan diberikan ganjaran oleh Allah,” katanya.
Sumber: BERNAMA