Menyediakan cop keluar masuk Malaysia yang disyaki palsu adalah modus operandi tiga pegawai imigresen yang terlibat dalam sindiket penyeludupan migran di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, cop tersebut digunakan bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Sosial (PSL) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
“Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap migran.
“Setibanya di Terminal Feri Pasir Gudang, pergerakan PATI yang menggunakan cop disyaki palsu itu akan diuruskan oleh pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bagi menguruskan pergerakan pulang PATI ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan pada sidang media, semalam.

Difahamkan, ketiga-tiga pegawai imigresen tersebut melibatkan satu (1) Pegawai Imigresen Kanan (PIK) serta dua (2) Pegawai Imigresen (PI), masing-masing berusia lingkungan antara 30 ke 48 tahun.
Mengulas lanjut, Ayob menjelaskan, kegiatan sindiket penyeludupan keluar warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Pasir Gudang, Johor ke Batam Center, Indonesia telah bergiat aktif bermula awal Mei lalu semasa PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
“Sindiket melibatkan pegawai imigresen di pintu sah ini mula aktif selepas operasi besar-besaran yang dilancarkan oleh Polis Johor ke atas sindiket penyeludupan di Pantai Timur Johor lumpuh,” tambahnya.
Ayob berkata demikian selepas mengumumkan penangkapan tiga pegawai imigresen yang bertugas di terminal feri tersebut pada kelmarin, setelah maklumat diperolehi melalui hasil soal siasat ke atas 12 migran Indonesia yang telah ditangkap antara 15 ke 21 Jun lalu.
Sementara itu, seorang lagi anggota polis marin yang turut disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran tersebut juga telah ditangkap dalam satu operasi berlainan.
“Suspek berusia 41 tahun yang bertugas di markas operasi pasukan marin di Putrajaya aktif dalam sindiket penyeludupan migran sejak Mei 2017,” jelasnya.
Anggota polis marin tersebut akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 130v hingga 130ZB, Bab 6B Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan menggunapakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.
Manakala ketiga-tiga pegawai dan anggota imigresen terbabit pula akan disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dengan menggunapakai prosedur siasatan di bawah akta yang sama.
Untuk rekod, sehingga kini seramai 22 pegawai penguatkuasa telah ditangkap berhubung sindiket penyeludupan migran di Pantai Timur Johor melibatkan 14 PDRM iaitu satu (1) pegawai dan 13 anggota; lima (5) ATM iaitu dua (2) pegawai dan tiga (3) lain-lain pangkat serta tiga (3) imigresen.

Posted by Polis Johor on Wednesday, June 24, 2020
Sumber: Polis Johor