Siakap Keli

Buruh Ditahan Sembunyi Senapang Buatan Sendiri

KUANTAN, 24 Jun — Polis menahan seorang buruh kerana dipercayai memiliki dua laras senapang buatan sendiri, yang dibuat menggunakan komponen dibeli secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Selendang di Rompin, kira-kira 138 kilometer dari sini, pada 2.30 petang tadi.

“Siasatan di rumah suspek menemukan senapang tersebut disembunyikan di bawah katil dalam sebuah bilik bersama beberapa komponen, dipercayai juga boleh dijadikan senjata.

“Suspek dipercayai membuat senjata itu sejak lima tahun lepas bagi tujuan berburu di dalam hutan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Azari berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960, kerana memiliki senapang tanpa lesen yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, senjata dan komponen yang dirampas dihantar ke Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, untuk dianalisis.

Sumber: Bernama

Nor Azilah