Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dua Wanita Tempatan Ditahan, Disyaki Edar Ganja

Kuala Lumpur: Dua wanita warga tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian pada 5 petang itu, suspek yang masing-masing berumur 25 tahun ditahan setelah berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta di Jalan SS5 5A/Kelana Jaya dekat sini.

”Susulan itu, pemerikasaan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki berisi ganja (seberat 125 gram)  disimpan di ruang tempat brek tangan kenderaan terbabit.

”Hasil semakan pihak polis bagaimanapun mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek mengaku menanam pokok ganja di rumah miliknya.

Susulan itu, polis bergegas ke rumah suspek di Jalan SS3/80 dan merampas tiga botol plastik hitam yang ditanam dengan empat batang pokok disyaki ganja.

Nik Ezanee berkata kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata beliau, siasatan lanjut masih dijalankan ke atas suspek bagi melihat penglibatan mereka dalam kes pengedaran dadah di kawasan Petaling Jaya.

–BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.