Siakap Keli

Genap 100 Hari PKP, Saksi Kejayaan Malaysia Ratakan Lengkung Wabak Covid-19

Kuala Lumpur:- Genap 100 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kejayaan negara dalam meratakan lengkung penularan wabak, sekali gus mengurangkan penularan kes dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan (PKPP) dengan kehidupan kebiasaan baharu, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan mematuhi segala nasihat dan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan.

”Jumlah kes aktif kini menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

”Kejayaan meratakan lengkung graf COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) bermula 18 Mac selama empat fasa, diikuti PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei hingga 9 Jun dan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan drastik kerajaan ketika itu mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa (mengelakkan jangkitan dari luar negara), memberi ruang kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital, seterusnya meratakan lengkung COVID-19.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes COVID-19, di hospital.

Mengimbas kembali di awal pelaksanaan PKP beliau berkata, ketika itu jumlah kes positif  telah mencecah 790 kes dengan dua kematian pertama, dicatatkan pada 17 Mac.

”Pada 18 Mac, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi ujian ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction’ (RTPCR) adalah hanya 6,210 ujian dengan jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian sebanyak 4,433 unit, 273 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 626 alat bantuan pernafasan khusus untuk pesakit COVID-19.

”Kemuncak jumlah kes aktif semasa fasa-fasa PKP adalah pada 5 April dengan 2,596 kes aktif, manakala jumlah kematian adalah 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Tambahnya dalam tempoh itu, kapasiti ujian makmal harian bagi RTPCR meningkat empat kali ganda kepada 27,233 ujian, dengan jumlah katil di hospital, ICU, dan alat pernafasan, masing-masing 8,794 unit, 438 unit dan 1,097 mesin.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah kes aktif ketika itu adalah 2,596 kes dan peratus kematian adalah 1.62 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

”Pada hari ini iaitu hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan, negara mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RTPCR, iaitu enam kali ganda berbanding sebelum PKP dan mempunyai 6,397 katil untuk COVID-19.

”Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit COVID-19, kini ia telah mula digunakan untuk pesakit kes lain. Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator, memandangkan hanya terdapat dua kes COVID-19 yang menggunakan ventilator,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.