Siakap Keli

Pembukaan Semula Sekolah: Guru, Pelajar Akui Teruja Hari Pertama

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Hari pertama persekolahan bagi pelajar kelas peperiksaan awam hari ini, setelah hampir tiga bulan sesi persekolahan ditangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, menyaksikan perasaan bercampur baur bagi warga sekolah.

Pembukaan semula sesi persekolahan melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu ternyata memberi kelegaan kepada pelajar untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan dan pada masa sama masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pemerhatian Bernama di laman sosial mendapati rata-rata masyarakat meluahkan rasa gembira apabila sekolah dibuka namun menasihatkan guru-guru dan para pelajar agar sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan susulan risiko penularan pandemik itu masih wujud.

Pengguna Facebook Azhari Pilus berkata: “Semoga semua sekolah dapat patuhi segala SOP yang digariskan. Pihak sekolah juga kena pastikan pelajar tingkatan lima dan enam atas tidak ambil mudah SOP itu.

“Kejayaan kumpulan perintis pelajar ini boleh meyakinkan kita untuk buka sekolah untuk pelajar tingkatan lain pula, selamat kembali ke sekolah buat guru dan pelajar terbabit,” katanya.

Seorang guru, Najemiah Azlin pula mengakui teruja memulakan sesi pengajaran dan berkata suasana persekolahan luar daripada kebiasaan memandangkan setiap pergerakan murid perlu diawasi setiap masa.

“Hari pertama sekolah dibuka berjalan lancar, pelajar ikut SOP cuma kadang-kadang terlepas juga, ada yang nak salam dan peluk. Seronok tengok anak murid dapat sekolah semula belajar walaupun dalam normal baharu. Cikgu-cikgu pun perlu sedia awal pagi untuk ambil suhu pelajar dan sebagainya,” menurutnya dalam catatan Facebooknya.

Pelbagai ragam para pelajar turut diluahkan melalui Twitter berhubung hari pertama persekolahan selepas PKP, malah ada yang turut memuat naik gambar mereka di dalam kelas dengan memakai pelitup separuh muka.

Bagi pengguna @syazwani dalam ciapannya berkata: “Hari pertama sekolah, semangatnya lain macam, rasa teruja, sebelum ini tak pernah-pernah pakai ‘mask’, tapi terpaksa pakai untuk jaga keselamatan, hand sanitizer pun memang dah siap dalam beg, first day sekolah ni memang seronok”.

Normal baharu juga membuatkan pelajar teruja setelah telah sekian lama duduk di rumah.

@thatvanillagal berkata: “Dulu masa sekolah beli makanan di kantin sorok bawah tudung tak nak kena tahan dengan pengawas semata-mata nak makan makan dalam kelas”.

@Asyrfhmzh pula berkata: “Memang dah lama tunggu sekolah buka, tak best belajar online, kena ada dalam kelas senang kalau tak faham terus tanya cikgu, harap COVID-19 cepat berakhir, rindu juga nak belajar ramai-ramai dalam kelas”.

Hari ini, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran mereka setelah kira-kira tiga bulan terhenti akibat Covid-19.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang