Siakap Keli

JHL Sabah Tahan Lelaki Aktif Pasar Telur Penyu Di Media Sosial Peribadi

KOTA KINABALU, 26 Jun – Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan seorang lelaki yang dikesan aktif memasarkan telur penyu menerusi media sosial miliknya, dalam Ops Tapau di Putatan, dekat sini pagi tadi.

Pengarahnya Augustine Tuuga berkata suspek yang berumur 21 tahun itu ditahan selepas empat penguat kuasa JHL Sabah memeriksa sebuah kenderaan Proton Wira berwarna kelabu di tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya besar di Putatan, kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata susulan pemeriksaan, pihaknya merampas 20 biji telur disyaki telur penyu, yang dimuatkan dalam dua bekas simpanan makanan yang diletakkan di dalam satu plastik berwarna hijau.

“JHL Sabah melakukan siasatan dengan melancarkan Ops Tapau selepas menerima laporan daripada orang awam melalui aplikasi Whatsapp, Facebook dan e-Aduan (berhubung perkara itu). Melalui operasi ini, jabatan berjaya mengesan suspek dan modus operandinya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tuuga seterusnya mengingatkan masyarakat Sabah bahawa semua spesis penyu adalah haiwan dilindungi sepenuhnya di dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan ini termasuk sebarang hasil daripada haiwan berkenaan, khususnya telur.

Beliau berkata memiliki haiwan atau hasil haiwan daripada spesis tersenarai dalam Bahagian I, Jadual I, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, iaitu haiwan dilindungi sepenuhnya adalah satu kesalahan, dan mereka yang disabit kesalahan itu boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.