Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru orang awam mengambil langkah berjaga-jaga susulan 14 kes Malaria dikesan di Ampang, baru-baru ini.
Sebelum itu, Ketua Pengarah, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat pada 20 Mei lalu menerima notifikasi satu (1) kes Malaria dari Hospital Ampang, melibatkan seorang warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan Jajaran CB1, projek Lebuhraya SUKE, Ampang.
“Susulan laporan kes tersebut, PKD Hulu Langat telah menjalankan aktiviti pengesanan kes aktif di tapak pembinaan dan taman perumahan berhampiran, melibatkan 3,017 individu yang disaring melalui ujian slaid darah.
“Hasil saringan mendapati 10 orang lagi telah dikesan dijangkiti Malaria dan kesemua bukan warganegara.
“Pada masa sama, sebanyak tiga (3) kes dikesan di fasiliti kesihatan berdekatan, iaitu dua (2) warga asing dan satu (1) warga tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah 14 kes, melibatkan sembilan (9) warga Indonesia, tiga (3) Bangladesh, satu (1) Nepal dan satu (1) rakyat tempatan.
Difahamkan, kesemua kes telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya dan disahkan sembuh.
“Jangkitan malaria ini disyaki berpunca daripada salah seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia.
“Jangkitan tersebut telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warganegara Malaysia,” tambahnya.
Kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 12 Jun lalu dan kejadian malaria setakat ini masih terkawal.
Ekoran itu, menurut Hisham, PKD Hulu Langat telah menjalankan aktiviti semburan racun residu di semua rumah kongsi pekerja sebanyak 193 buah, serta telah memberi perlindungan kepada pekerja melalui edaran 340 kelambu berubat.
“Tempat-tempat takungan air di kawasan tapak pembinaan serta tempat ditemui jentik-jentik telah dibubuh racun pembunuh, selain aktiviti kawalan Malaria turut diperluaskan ke kawasan perumahan berdekatan.
“Penduduk di kawasan ini telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru, orang awam di kawasan tersebut khususnya diseru untuk bertindak mengurangkan risiko jangkitan seperti mengelakkan aktviti di luar rumah pada waktu malam.
Mereka perlu mencegah daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan replan, memakai pakaian berlengan panjang serta seluar panjang apabila berada di luar rumah.
Sekiranya mengalami simptom seperti demam, sejuk dan menggigil, perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dalam kadar segera.
Sumber: KKM