Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Lengan Tangan Kanan Patah Dan Pasang Besi,” Lelaki OKU Cekal Buat Banyak Kerja Untuk Tampung Hidup

JITRA, 26 Jun (Bernama) — Meskipun diri serba kekurangan tidak seperti individu normal lain, tetapi Shaari Hamid, 56, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk bekerja keras dengan melakukan beberapa kerja bagi menyara keluarga.

Shaari dari Kampung Melele, Kodiang dekat sini tidak pernah menganggap ketidakupayaan fizikalnya itu sebagai ‘tembok’ besar yang membataskan pergerakannya mencari rezeki demi memberikan kehidupan selesa kepada isteri dan tiga anaknya berusia antara 13 hingga 22 tahun.

Dia menarik perhatian apabila berupaya menternak kambing biri-biri sejak 2011 yang kini memiliki 31 ekor kambing selain mengutip botol kosong untuk dijual serta mengambil upah sebagai tukang cuci dengan pengusaha katering bagi menambah pendapatan.

Kredit: Bernama

“Tangan kanan saya ini tidak dapat berfungsi dengan baik sejak kecil lagi, malah tangan dan kaki kanan saya jadi bertambah tidak kuat lagi macam orang normal lain selepas terlibat dalam kemalangan pada 2002 yang mana peha dan lengan tangan kanan patah dan perlu pasang besi.

“Walaupun kudrat saya tak sama macam orang normal lain, saya tetap bersemangat untuk buat lebih dari satu kerja bagi menampung keperluan keluarga berikutan isteri saya tidak mampu bekerja kerana dia juga OKU. Penglihatan mata kabur disebabkan kencing manis sejak 19 tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.

Kutip botol kosong guna basikal

Shaari berkata dia pergi mengutip botol kosong hanya menggunakan basikal sebelum mendapat motosikal ehsan pemberian seorang individu kepadanya tahun lepas untuk memudahkan pergerakannya bekerja.

Katanya, hasil menjual botol itu dia mendapat antara RM3 hingga ke RM10 sekali jual dan untuk tempoh enam bulan dapat mengumpulkan botol itu dalam muatan lori satu tan lori iaitu lebih kurang 1,000 kilogram dia boleh meraih RM65.

“Kambing biri-biri ini saya boleh jual antara RM650 hingga RM850 seekor, itu pun tidak menentu pendapatan jual kambing ini. Selalunya akan mendapat permintaan tinggi ketika perayaan sahaja terutamanya raya haji.

Kredit: Bernama

“Kerja sebagai tukang cuci pula saya boleh mendapat RM250 sebulan tetapi semasa tempoh pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini saya tidak pergi kerja sebab pengusaha katering tidak menjalankan operasi mereka,” katanya.

Shaari berkata dia sangat bersyukur dengan hasil yang diperoleh itu daripada tulang empat keratnya meskipun tidak mempunyai pendapatan tetap umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kerana masih mampu menampung keperluan keluarga walaupun dalam penuh kesederhanaan.

Mampu hantar anak ke universiti

Dia berkata hasil kerja kerasnya itu juga mampu menghantar anak perempuan sulungnya melanjutkan pelajaran di UiTM pada peringkat diploma yang kini sudah bekerja sebagai staf kontrak di sebuah jabatan kerajaan di daerah Kubang Pasu.

“Tinggal dua lagi anak saya masih bersekolah yang mana anak perempuan kedua berada di tingkatan enam atas, anak lelaki bongsu pula tingkatan satu. Saya masih perlu bekerja kuat untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Shaari berkata dia dan isteri Rosnani Ahmad, 49, turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing RM400 dan RM200 sebulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di nombor akaun CIMB milik Shaari bernombor 7047848194 atau menghubunginya di talian 011-24145069.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa