Siakap Keli
Gambar: Tribun papua - Tribunnews.com

Nak Bagi ‘Pengajaran’, Lelaki Didakwa Tergamak Cederakan Telinga Isteri Hingga Alami Trauma

Seorang lelaki didakwa tergamak ‘memotong’ sebahagian telinga isterinya gara-gara isterinya itu tidak menyiapkan makanan untuknya pada Isnin lalu.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di Desa Bukit Sutra, Indonesia itu dikatakan berpunca selepas suspek dikatakan malu ketika mengetahui isterinya itu menginap di rumah jirannya dan tidak menyediakan makanan untuknya.

Menurut Kompas.com, suspek telah bertindak sedemikian kerana isterinya itu menendang pahanya ketika dia cuba menegur tentang kesalahan tersebut.

“Saya memberinya amaran untuk tidak mengulangi perbuatannya itu, namun sebaliknya dia telah menendang paha saya lalu saya pun menarik telinganya dan kemudiannya saya mencederakannya,” ujar suspek ketika ditemui di balai polis Larompong.

Ketika disoal siasat, suspek mengakui bahawa dia amat menyesali tindakannya itu. Bahkan, dia merasakan seakan sedang dirasuk sehingga menyebabkannya hilang pertimbangan dalam memberi pengajaran kepada isterinya itu.

“Saya amat menyesali tindakan saya walaupun pada awalnya saya hanya merancang untuk memberi pengajaran sahaja, tetapi kerana dia melawan, saya seakan dirasuk oleh iblis lalu menyebabkan saya hilang pertimbangan,” katanya.

Mangsa dilaporkan telah menerima rawatan dan masih lagi dalam keadaan trauma susulan daripada kejadian itu.

“Mangsa telah dibenarkan pulang ke rumahnya di kampung Bukit Sutra selepas menerima rawatan di Pusat Kesihatan Larompong. Mangsa masih dalam keadaan trauma,” kata Syarief, Ketua Polis daerah Karompong.

Atas tindakannya itu, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara maksimum sehingga 5 tahun.

Sumber: Kompas

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa