Siakap Keli
Gambar: Bernama TV

Sepadan Dengan DNA Ibu, Bapa Saudara Kongsi Kisah Remaja Hilang Sejak Tahun Lepas, Rupanya Sudah Meninggal Dunia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Enam bulan menanti kepulangan anak yang hilang, sebuah keluarga terpaksa menelan ‘pahit hempedu’ apabila menerima berita anak kesayangan telah tiada.

Apa yang lebih menyedihkan ialah sebenarnya jasad mangsa telah ditemui sejak Januari lalu, namun tidak diketahui identitinya sehinggalah minggu lepas.

Menurut bapa saudara mangsa serta semakan portal kanak-kanak hilang Polis Diraja Malaysia, Nursyafiqah Abdullah, 13 dilaporkan hilang sejak 10 Disember 2019.

Pun begitu, identitinya hanya dapat dikenalpasti baru-baru ini setelah ujian DNA mendapati rangka yang ditemui di dalam tong sampah pada 29 Januari lalu sepadan dengan ibu mangsa.

Kisah mendukacitakan ini dikongsikan bapa saudara mangsa, Rizal Imran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Allahuakbar… berikanlah kekuatan kepada kami, terutamanya ibu kepada arwah.

Saya senyap seminggu kerana saya tak cukup kuat tangani isu ini.

Hari ini (Rabu), minggu lalu, kami kebumikan sisa-sisa kerangka dirinya.

Kasihan ibunya. Kami tak sanggup lihat jenazahnya, yang hanya boleh diletak dalam kotak kecil sahaja.

NGO Ikhlas telah menguruskannya dan kerangkanya tinggal besar seperti digambar sahaja bila dikapankan.. Itupun mereka cuba susun tulang belulang ikut susunannya.

Syafiqah (12 tahun) yang dilaporkan hilang rupanya adalah rangka yang telah ditemui pada 29 Januari.

Awal minggu lepas baru dapat dipastikan identiti selepas DNA beliau dan ibunya sepadan.

Berikut adalah artikel berkenaan penemuan arwah pada 29 Januari 2020.

Rangka manusia ditemukan dalam tong sampah

GEORGE TOWN, 29 Jan – Misteri bau yang teramat busuk daripada sebuah tong sampah yang ditinggalkan berhampiran lereng bukit di tepi jalan Paya Terubong, dekat sini sejak semalam membawa kepada penemuan rangka manusia hampir reput yang disembunyikan di dalam tong sampah bertutup itu malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang peniaga di kawasan itu kira-kira pukul 7.20 malam memaklumkan terdapat bau busuk berhampiran tiang elektrik di tepi lereng bukit di situ.

“Sepasukan polis terus ke lokasi dan pemeriksaan mendapati terdapat sebuah tong sampah warna hijau dipercayai milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di lereng bukit di situ yang berbau busuk dan terdapat rangka manusia di dalamnya,” katanya kepada Bernama, di sini malam ini.

Katanya, pihak polis menggunakan tali untuk membawa naik tong sampah itu ke tepi jalan di lereng bukit berkenaan sebelum terus membawanya ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu bagi membantu siasatan dan mengesan pihak yang meninggalkan tong sampah berisi rangka manusia dipercayai telah mati lebih lima hari itu. – Bernama

Gambar: Rizal Imran
Gambar: Rizal Imran
Gambar: Rizal Imran

Walau bagaimanapun, punca kematian remaja berkenaan masih belum dapat dipastikan. Menurut bapa saudaranya semasa berkongsikan kisah ini, siasatan masih dijalankan dan mengharapkan penyiasatan kes ini dapat dijalankan dengan lancar.

Takziah buat keluarga mangsa. Semoga Allah tempatkan Allahyarham Nursyafiqah dalam kalangan mukminah solehah serta memberi kekuatan buat ahli keluarganya.

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُا وَارْحَمْهُا وَعَافِهِا وَاعْفُ عَنْهُا

Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan maafkan kesalahannya.

Sumber: Rizal Imran, Portal Rasmi Kanak-Kanak Hilang PDRM

Amira

Love yourself.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa