Siakap Keli
Foto: Instagram Razzi Musa

Solekan S. Pavithra Tonjol Mesej Hargai Warna Kulit Semula Jadi

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Mari bercakap mengenai pengguna YouTube sensasi, S. Pavithra yang baru-baru ini menjadi ‘model’.

Laman sosial menjadi ‘riuh’ tatkala foto di sebalik tabir penggambaran yang memaparkan Pavithra, suri rumah berusia 28 tahun yang menjadi bintang YouTube, muncul di platform media sosial.

Pavithra kelihatan sangat memukau di dalam foto yang dirakamkan, tetapi yang lebih menarik ialah kreativiti jurusolek yang memilih solekan menonjolkan keindahan warna kulit Pavithra.

Budaya Asia biasanya menyamakan kulit yang cerah dengan kecantikan dan walaupun tidak semua orang Asia mempunyai mentaliti itu, kepercayaan itu ketara dalam industri fesyen.

Iklan dan pertunjukan fesyen tempatan menampilkan model berkulit cerah manakala model berkulit gelap akan ‘diubah’ warna kulit mereka – sama ada melalui solekan atau proses penyuntingan gambar selepas itu – untuk menjadi lebih cerah sebelum foto mereka disiarkan kepada orang ramai.

Krim dan rawatan pencerah kulit juga kerap dipromosikan di media.

Justeru, sangat mengujakan apabila mendapati Razzi Musa – jurusolek yang bekerjasama dengan Pavithra dalam penggambaran itu, yang menepis stigma tidak sewajarnya dalam amalan solekan.

Foto: Instagram Razzi Musa

“Saya rasa tiada sebab untuk mengubah warna kulit Pavithra. Saya perlu hargai  warna kulit dia, kita semua kena hargai warna kulit kita,” katanya kepada Bernama, yang dilihat turut mempunyai persepsi sama dengan kebanyakan warganet.

Kejelitaan Pavithra mencetuskan keterujaan dalam kalangan warganet yang meninggalkan komen positif di media sosial.

Pengguna Twitter Muhammad Adham menerusi ciapannya menulis: “Dia sangat cantik” manakala pengguna Instagram @ parames_01 pula menulis hantaran: “Wow! Dia tidak perlu berlebihan. Sangat elegan dan cantik.”

Pelukis Instagram, Haris Rashid turut melukis potret Pavithra yang diinspirasikan daripada foto penggambaran itu.

Sementara itu, Razzi berkata inspirasi di sebalik penampilan Pavithra adalah daripada sifatnya yang lembut lembut, seperti yang dapat dilihat dalam video masakannya bersama suami, M. Sugu.

“Saya rasa saya tidak perlu mengubah individu itu menjadi orang lain. Saya mahu Pavithra menjadi Pavithra.

“Konsep solekan minimum saya terapkan kerana saya mahu menyerlahkan sisi manis dan sopan Pavithra yang kita selalu nampak. Memang dalam kepala saya, saya nak tunjukkan Pavithra secara semula jadi,”.

Razzi bagaimanapun mengakui bahawa pada akhirnya, semuanya bergantung kepada cita rasa masing-masing.

“Susah sikit kita nak mendidik mengenai warna kulit kerana ia mengikut cita rasa masing-masing. Tapi apa yang saya ingin sampaikan ialah kita perlu bangga dengan warna kulit kita.

“Ini dah 2020, warna kulit tak perlu jadi masalah. Yang penting menjaga dan sayang kulit anda,” kata Razzi.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang