Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Video) Operator Pengeluaran Dipenjara 12 Bulan, Denda Sembunyi Kelahiran Bayi

MELAKA, 26 Jun  — Seorang operator pengeluaran kilang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan membuang mayat mangsa ke dalam lubang kumbahan, awal bulan ini.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Faiz Zakariyah, 25, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Teoh, dalam penghakimannya, berkata hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa isu pembuangan bayi merupakan perbuatan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan sebuah keruntuhan moral yang tiada belas ehsan.

Majistret itu berkata kematian bayi dalam kes seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan yang menyediakan perlindungan bayi bagi membolehkan bayi itu diserahkan dan dijaga sebagai anak angkat.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menyembunyikan kelahiran bayi dalam kandungan berusia tujuh bulan (yang telah dilahirkan teman wanitanya) dengan cara membuangnya ke dalam lubang kumbahan di sebuah rumah di Batu 4 ¼ Kampung Kandang di sini, pada 12.30 pagi, 7 Jun lepas.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, teman wanita tertuduh yang juga operator pengeluaran di kilang berlainan kerap tidak hadir bekerja sepanjang bulan ini kerana cuti sakit, dan telah melahirkan anak di rumah sewanya di Bukit Baru di sini, sebelum menyerahkan mayat bayi itu kepada tertuduh yang kemudian membuangnya di dalam lubang kumbahan.

Hasil siasatan polis dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di tempat kejadian telah menemukan dua cebisan daging dipercayai kaki bayi itu, dua cebisan daging dipercayai tangan bayi dan cebisan dipercayai kulit badan bayi tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right