Siakap Keli

Warga Emas Sujud Syukur Dapat Tunai Solat Jumaat

JOHOR BAHRU, 26 Jun – Seorang warga emas yang jelas gembira dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, di sini hari ini, menzahirkan kesyukurannya dengan melakukan sujud syukur, setelah tiga bulan tidak dapat menunaikan solat Jumaat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Ahmad Mohd Awi, 73, berkata perasaan rindunya itu untuk menjejakkan kaki ke masjid semula akhirnya tercapai setelah kerajaan negeri membenarkan jumlah jemaah solat Jumaat, mengikut satu pertiga kapasiti masjid.

“Saya sering ke masjid ini semenjak ia siap dibina lagi, apabila ia ditutup berikutan COVID-19 saya rasa sedih. Saya sujud syukur sebab terlalu gembira, sebelum ini saya ternanti-nanti berita gembira ini, akhirnya tercapai,” katanya yang tinggal di Taman Mount Austin itu kepada Bernama, di sini, hari ini.

Seorang lagi jemaah Shafiq Mohd Khalid, 40, turut meluahkan perasaan gembira  kerana mengikut penggiliran, dia seharusnya dapat menunaikan solat Jumaat pada bulan Ogos nanti.

“Memang sangat bersyukur, kalau ikutkan penggiliran saya dapat solat bulan Ogos nanti. Jadi ia terbatal dan boleh pergi sebab jumlah jemaah adalah satu pertiga kapasiti masjid,” katanya yang tinggal berhampiran kawasan masjid itu.

Terdahulu tinjauan Bernama mendapati terdapat kira-kira 1,000 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Iskandar yang dapat memuatkan sehingga 4,500 orang itu, dengan diimamkan oleh Imam Satu, Bak Izzadin Anuar, dan sekumpulan anggota polis dilihat berkawal di pintu masuk hadapan masjid itu.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang