Siakap Keli

Galeri Skybridge Jambatan Angkat Terengganu Dibuka Semula Esok

KUALA TERENGGANU, 27 Jun — Selepas hampir 100 hari ditutup, Galeri Skybridge yang terletak di menara tinjau jambatan angkat Terengganu atau ‘drawbridge’, akan kembali beroperasi seperti biasa pagi esok dengan mengamalkan prosedur operasi standard (S.O.P) yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata sebagai persediaan untuk kembali menerima pelancong, proses nyah cemar telah dimulakan petugas kebersihan di bangunan jambatan angkat itu hari ini.

“Pihak kami telah meneliti  keluasan dan kapasiti di Galeri Skybridge ini secara terperinci dan memutuskan bahawa hanya 20 pengunjung sahaja yang dibenarkan berada di dalamnya pada satu-satu masa.

“Bilangan pengunjung di Sky Terrace atau bilik lantai kaca pula akan dihadkan dari 10 orang kepada lima pengunjung sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

TI Properties Sdn Bhd adalah syarikat pengendali jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu yang bertanggungjawab terhadap pengurusan acara, penyelenggaraan bangunan dan memantau pembukaan bahagian tengah jambatan angkat itu untuk laluan kapal-kapal yang besar.

Khalizan berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, Galeri Skybridge akan dibuka kepada pelancong pada  jam10 pagi sehingga 5 petang setiap hari kecuali pada hari Jumaat yang mana operasi dihentikan selama dua jam (dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang) untuk memberi laluan solat Jumaat.

“Kami sangat teliti dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)  untuk kategori Pelancongan, Seni dan Budaya yang mana beberapa  SOP wajib dilaksanakan, antaranya  had umur bagi pengunjung dan sistem nombor giliran untuk memastikan wujudnya jarak sosial di dalam Galeri Skybridge.

“Tatacara pengendalian untuk pelancong seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka serta butiran peribadi pelancong juga akan direkodkan untuk memudahkan sebarang urusan,” katanya.

Jambatan bernilai RM248 juta itu dibina dengan menggunakan sistem teknologi hidraulik canggih dan merupakan jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Orang ramai yang ingin berkunjung ke Galeri Skybridge itu akan dikenakan bayaran yang masih sama seperti sebelum ini iaitu RM5 bagi warganegara dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah tiga tahun, manakala bagi bukan warganegara bayaran RM30 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha