Siakap Keli

Pilihan Raya Singapura Tidak Tunda Pembukaan Sempadan Malaysia Singapura – Hishammuddin

KLUANG, 27 Jun  — Pembukaan sempadan di antara Malaysia dan Singapura tidak akan tertunda meskipun republik itu akan melalui pilihan raya umum pada 10 Julai ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pembukaan itu bagaimanapun akan bergantung kepada tahap keselamatan, tahap kesihatan dan kesediaan kedua-dua negara berasaskan empat kategori yang telah dikenalpasti.

“Tak ada penangguhan. Apa yang boleh kita putuskan, kita umum tetapi kita kena berhati-hati supaya semua pihak berpuas hati dan tidak ada suara-suara sumbang yang boleh jejaskan keputusan kita,” katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat FELDA dan Penyerahan Kit COVID-19 kepada sekolah dalam Parlimen Sembrong di Dewan Semarak FELDA Kahang Timur, hari ini.

Mengulas kategori yang telah dikenalpasti, beliau berkata salah satunya melibatkan mereka yang berada dalam sektor profesional, bisnes dan peribadi.

Kategori kedua melibatkan kira-kira 25,000 rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura ekoran penutupan sempadan sejak penularan COVID-19.

“Yang ini (kedua-dua kategori) kita dah pun sampai ke tahap penyelesaian dan kalau kita umum penyelesaian untuk kategori pertama dan kedua dalam masa terdekat, saya yakin pengumuman tidak akan jejaskan kedudukan COVID-19 antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Menurut Hishammuddin, kategori seterusnya pula bersifat lebih kompleks kerana bakal melibatkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja ke Singapura setiap hari, serta pembukaan sepenuhnya pintu sempadan kedua-dua negara.

“Bagi kategori ketiga itu (pekerja Malaysia berulang-alik ke Singapura), saya tanpa segan silu menyatakan bahawa perkara yang kena kita fikirkan ialah kemampuan kita untuk melakukan ujian COVID-19.

“Ini kita kena fikirkan bersama dan saya telah melibatkan kepimpinan negeri sendiri melalui Menteri Besar Johor dan daripada perbualan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, perkara ini telah dibincangkan di peringkat tertinggi.

“Mengenai pembukaan sempadan sepenuhnya, ia akan banyak bergantung kepada ketiga-tiga kategori ini. Kalau ketiga-tiga kategori ini berjalan lancar dan tiada kesan kepada jumlah mereka yang berjangkit, maka saya tengok tidak ada sebabnya mengapa kita tidak boleh mula memikirkan membuka sepenuh sempadan kita antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Dalam isu berkaitan, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Vietnam adalah negara Asia terbaharu yang tersenarai dalam perbincangan laluan hijau.

Negara Asia tersenarai sebelum ini ialah Brunei, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea.

“Laluan hijau ini adalah usaha untuk kita mewujudkan hubungan dua hala dan perjalanan ekonomi, kepakaran, pelancongan di antara negara yang ada persefahaman dalam konteks SOP dan usaha nak membanteras jangkitan COVID-19.

“Kita dah kenalpasti lima negara dan telah diumumkan namun minggu lepas, PM kita sudah berbincang dengan PM Vietnam dan kita tambah satu lagi. Singapura juga termasuk dalam senarai ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA 

Nurul Najiha