Siakap Keli
Gambar: Bernama

10 Daerah Dilanda Banjir Di Sabah Setakat 12 Tengah Hari

Lima lagi daerah di Sabah dilanda banjir setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlahnya 10 daerah berbanding lima daerah pada 8 pagi tadi, susulan hujan lebat sejak semalam.

Lima daerah terbaru dilanda banjir ialah Tenom, Pitas, Beaufort, Membakut, dan Papar, selain Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran.

“Sebanyak 55 buah kampung yang terjejas di kesemua 10 daerah dan pemantauan sedang giat dijalankan,” kata  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan hari ini.

Katanya setakat tengah hari ini, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu dua di Kota Belud yang menempatkan 81 orang daripada 31 keluarga, satu PPS di Penampang (21 orang daripada enam keluarga) dan satu PPS di Papar (60 orang daripada 19 keluarga).

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat di  beberapa daerah kerana proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih giat dilakukan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right