Siakap Keli

COVID-19: Johor Hilang Lebih 20 Peratus Hasil – Menteri Besar

Gambar: Bernama

Kerajaan negeri Johor hilang lebih 20 peratus hasil negeri berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan Malaysia-Singapura bagi membendung penularan COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata ia bukan sahaja berpunca daripada cukai dan caj tertentu yang tidak dapat dikutip, tetapi juga disebabkan ketidakaktifan pelabur dan pelancong dari negara jiran itu masuk atau merentas negeri berkenaan.

“Negeri Johor merupakan negeri yang cukup banyak potensinya tetapi dalam masa sama, apabila negara jiran kita Singapura turut menghadapi masalah ekonomi (disebabkan COVID-19), negeri Johor terkesan dua kali ganda daripada negeri-negeri lain,” katanya  dalam ucapan pada program Lawatan Kerja ke Daerah Kluang dan Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Petugas Barisan Hadapan COVID-19, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hasni berkata pihak kerajaan negeri komited untuk mencari jalan memulihkan ekonomi, termasuk menyediakan pelbagai inisiatif dan kelonggaran bagi membantu sektor ekonomi untuk ‘bangun semula’.

Mengenai kemasukan pekerja tempatan ke negara seberang tambak itu, Hasni berkata ia masih dalam peringkat perbincangan.

Menurutnya, berdasarkan rekod seramai 200,000 penduduk negara ini, terutamanya yang tinggal di Johor Bahru bekerja di republik  dan ada sebahagiannya berulang-alik setiap hari.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan Aturan Perjalanan Berkala bagi membenarkan penduduk kedua-dua negara yang memegang pas imigresen jangka panjang atas tujuan perniagaan atau bekerja untuk pulang ke negara masing-masing dari semasa ke semasa untuk cuti jangka pendek.

Muhyiddin berkata Laluan Hijau Ulang-Alik turut akan diwujudkan untuk memudahkan perjalanan merentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.