Siakap Keli

Lebih 70,000 Set PPE Dihasilkan Sukarelawan Kemas

MERSING, 28 Jun — Sebanyak 75,344 set peralatan perlindungan diri (PPE) berjaya dihasilkan sukarelawan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara setakat Rabu lepas bagi membantu petugas barisan hadapan mengawal penularan COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sukarelawan yang terlibat merupakan 480 kakitangan jabatan itu dan 436 peserta kelas kemahirannya.

Mereka menghasilkan set PPE yang merangkumi gaun isolasi, tudung dan tali pengikat gaun yang dijahit sejak Mac lepas sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan dalam membendung wabak COVID-19.

“Seramai 365 tenaga pengajar yang mahir dalam bidang jahitan bersama peserta kelas jahitan di seluruh negara menawarkan diri secara sukarela untuk menyediakan PPE dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Mereka (sukarelawan) ini merupakan wira yang tak didendang iaitu ‘Unsung  Hero’. Justeru, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam sumbangan tidak ternilai ini,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra meraikan sukarelawan penyediaan PPE melibatkan Kemas Negeri Johor di Dewan Felda Tenggaroh 5, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kemas Johor, Zairuddin Mat Zuini dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Latiff mahu peranan Kemas yang ditubuhkan sejak 1961, terus diperkasa agar dapat kekal berdaya saing dan mengikut perubahan keperluan terutama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Sumber: BERNAMA 

Nurul Najiha