Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Lima Daerah Di Sabah Terjejas Banjir

KOTA KINABALU, 28 Jun  — Lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran dilanda banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah berkata bencana itu menjejaskan 41 buah kampung, namun setakat ini hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi iaitu di Kota Belud, melibatkan 31 mangsa daripada 16 keluarga.

“Sebanyak 19 Kampung terjejas di Kota Belud iaitu Kampung (Kg) Siasai Tamu, Kg Kota Belud, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Menunggui, Kg Lebak Engad, Kg Serimbai, Kg Lingkodon, Kg Dongoi, Kg Marajah, Kg Lebak Moyoh, Kg Sadok-Sadok, Kg Gunding, Kg Linau, Kg Karang Benai, Kg Taun Gusi, Kg Tanjung Pasir, Kg Labuan dan Kg Tanjung Wakap,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa kampung di Penampang, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran juga dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat pagi ini.

“Pemantauan sedang dibuat di kawasan-kawasan panas di daerah-daerah berkenaan dan segala maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Richard Jomiji ketika dihubungi berkata beberapa jalan raya terjejas dan tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh susulan hujan lebat lebih tiga jam semalam.

“Kawasan yang terjejas teruk ialah di Km41 Jalan Keningau Kimanis yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 6.30 petang semalam.

“Namun syarikat konsesi telah diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan malam tadi dan kini jalan itu boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story