Siakap Keli
Gambar: Bernama

Sistem Pungutan, Agihan Zakat Bersistematik Tingkatkan Integriti – Zulkifli

Kaedah pungutan dan agihan zakat bersistematik yang dilaksanakan oleh institusi zakat di negara ini boleh meningkatkan lagi integriti dalam pengurusan dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sistem sedemikian juga akan membantu pihak zakat menyelaras dan menstruktur maklumat penerima serta menambah baik kekurangan yang ada.

“Sistem yang dimaksudkan itu bukan semata-mata tentang zakat tapi digabungkan dengan wakaf, justeru kita akan nampak data berkenaan dengan mereka yang memerlukan.

“Jadi dengan cara seperti itu, berdasarkan kewangan yang terhad dan cara yang begitu dititikberatkan, akan membentuk integriti tinggi dan keamanahan yang baik,” katanya yang ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LNZK) di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai pengurusan zakat di negeri ini yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman.

Mengambil contoh sistem yang diamalkan LZNK, Zulkifli berkata kaedah dilaksanakan dengan amat baik malah mendahului berbanding di tempat-tempat lain.

“LNZK telah membangunkan sistem yang baik dan mungkin boleh ditambah baik dan dikemas kini tetapi pada asasnya ini satu usaha yang patut dipuji,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pihak zakat menggandakan promosi kepada orang ramai agar lebih ramai umat Islam menunaikan kewajipan tersebut selain menyebarkan maklumat mengenai agihan bantuan yang telah dilaksanakan.

“Promosi adalah amat penting, kadang-kadang ada orang buat satu perkara tapi nampak kesan besar, tapi kita buat macam-macam perkara tapi tidak nampak apa-apa … kita perlu memberitahu bahawa zakat memang sampai kepada penerima,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right