Siakap Keli

300 Warga Kerja Media Prima Ditamatkan Perkhidmatan 31 Julai Ini

Media Prima Berhad (MPB) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan pihaknya telah mencapai persetujuan dengan 5 wakil kesatuan pekerja dalam perbincangan berhubung pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan media itu seperti diumumkan pada 4 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu, seramai 300 warga kerja menerima surat notis dan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Agensi media tersebut berkata, ia bertujuan sebagai langkah pengecilan operasi serta mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja.

“Sebelum ini, Media Prima telah mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

“Perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik COVID-19,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Difahamkan, keputusan Kumpulan (Media Prima) untuk mempercepatkan pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasi syarikat adalah bersandarkan faktor-faktor berkenaan.

“Ianya merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian,” tambah kenyataan itu yang turut menjelaskan perubahan operasi di unit-unit terpilih bagi tujuan tersebut.

“Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, keputusan pengecilan operasi tersebut adalah hasil persetujuan Media Prima bersama kesatuan-kesatuan sekerja.

“Kumpulan dan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja telah mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan Kumpulan seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lalu.

“Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada para kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” lapor kenyatan tersebut.

Sumber: Media Prima

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.