Siakap Keli

Bekas Pembantu Tadbir Kewangan Didakwa Perdaya Majikan Lebih RM44,000

KUALA LUMPUR, 29 Jun  — Seorang bekas pembantu tadbir kewangan di Unit Akaun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas 20 pertuduhan memperdayakan majikannya dengan  menggunakan baucar bayaran mengandungi butiran palsu berjumlah lebih RM44,000 berhubung rancangan televisyen yang tidak wujud.

Munawer Hasan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-20, tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan majikannya telah menggunakan 20 set baucar bayaran berjumlah lebih RM44,000 dengan bayaran antara RM1,200 hingga RM2,500 ke atas empat individu.

Ia berhubung perihal bayaran ‘Piecemeal’ sebagai pengacara lokasi, suara latar dan pakar rujuk yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa baucar bayaran itu mengandungi butiran palsu di mana rancangan televisyen itu tidak pernah dilaksanakan di RTM.

Antara rancangan televisyen itu ialah program Episod PD, Gunung Stong PD, Refleksi, Pakar Rujuk PD, Episod P.Tinggi dan P.Pemanggil.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Akaun, Brickfields di sini antara 9 Okt, 2014 sehingga 24 Feb, 2016 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah butiran palsu yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Nor Diana Nor Azwa menawarkan jumlah jaminan RM13,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, Munawer yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai tiga anak dan seorang isteri.

“Saya memohon jaminan dikurangkan kerana anak masih kecil dan isteri saya sedang mengandung anak keempat,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.

Sumber: Bernama

Nor Azilah