Siakap Keli

38,000 Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Kembali Bersekolah Esok

JOHOR BAHRU, 30 Jun — Sebanyak 1,781 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara di seluruh negara akan kembali beroperasi esok.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pembukaan semula itu akan melibatkan kira-kira 38,000 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Katanya, semua tabika ini akan dibuka serentak dengan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pendidikan, menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid.

“Kita dah menyediakan peruntukan berjumlah RM2.447 juta untuk melengkapi Tabika Perpaduan dengan semua peralatan berkaitan SOP seperti termometer dan cecair pembasmi kuman.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM275,628 adalah untuk 206 Tabika Perpaduan di negeri Johor,” katanya kepada pemberita sejurus selesai melawat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Genius Perpaduan di Taman Universiti, di sini, hari ini.

Halimah berkata berdasarkan pemerhatiannya setakat ini, beliau berpuas hati dengan tahap kesediaan pihak tabika untuk beroperasi semula esok.

Namun begitu, beliau tetap berharap ibu bapa akan berperanan sama dalam pematuhan SOP yang ditetapkan termasuk menyediakan anak-anak dengan kelengkapan perlu, sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Sekiranya anak mempunyai apa-apa gejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau tidak bergejala tetapi lemah dan sebagainya, hantarlah juga ke doktor untuk diberi rawatan. Jangan hantar ke taska, tabika dan tadika kerana kita mahu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.