Siakap Keli

Bot Terbalik Dipukul Ribut Ketika Memancing, 4 Ditemui Lemas & 4 Lagi Masih Hilang

BACHOK, 30 Jun – Keseronokan untuk memancing ikan di perairan Bachok akhirnya mengundang padah apabila bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohamad Piah berkata dalam kejadian pada 8 malam itu, empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Empat yang masih hilang adalah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30 dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Abdullah berkata bot nelayan yang dinaiki pemancing itu dilaporkan telah dibadai ribut dan ombak kuat menyebabkan tali sauh terputus dan bot tersebut terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut.

“Dalam kejadian itu, individu yang terselamat telah dibantu oleh rakan-rakan mereka daripada bot yang lain termasuk nelayan manakala empat mangsa lemas ditemukan di sekitar kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, awal pagi ini.

Abdullah berkata empat mangsa lemas dan 12 yang terselamat itu telah dibawa ke jeti oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan bot nelayan lain kira-kira pada 2.15 pagi.

“Kesemua mayat dan yang terselamat ini dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat dan rawatan manakala operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan akan dibantu agensi lain pada sebelah pagi nanti,” katanya.

Beliau berkata 14 daripada pemancing itu kesemuanya berasal dari Kampung Padang Tok La, Pasir Mas dan enam lagi merupakan tekong dan awak-awak yang bertolak ke perairan itu dari Kuala Besar, Kota Bharu pada 3 petang.

Katanya mereka turut disertai beberapa lagi rakan yang belum dikenal pasti telah menaiki bot yang lain dan mula memancing sebelum ribut melanda.

Sementara itu bagi keluarga seorang mangsa yang masih hilang, Mohd Rowi Hussin, 50, mengharapkan agar bapa saudaranya Harun Daud dapat ditemui segera.

“Apa pun kami reda dengan ketentuan Ilahi. Saya mendapat panggilan daripada pihak polis kira-kira jam 11 malam dan terus ke sini untuk mengetahui perkembangan,” katanya.

Beliau berkata kesemua pemancing itu telah berkumpul di rumahnya sebelum bertolak ke Kuala Besar pada sebelah pagi semalam dan melihat mereka begitu gembira untuk pergi memancing ikan dan sotong.

Katanya kali terakhir beliau mengikuti perkembangan mereka di atas bot melalui video yang dihantar menerusi WhatsApp pada sebelah tengah hari.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang