Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dua Lelaki, Seorang Wanita Ditahan Terlibat Samun Di Kulim

Alor Setar: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes samun berhampiran sebuah bangunan terbiar di belakang bangunan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dekat Kulim, pada 24 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Azhar Hashim berkata dalam kejadian pukul 1.00 tengah hari itu, mangsa seorang lelaki berusia 46 tahun sedang berjalan ke pejabatnya di Bandar Putera sebelum didatangi dua suspek yang menaiki motosikal.

”Suspek seorang lelaki dan seorang wanita telah meragut beg yang dibawa mangsa dan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kiri lengan. Antara barang yang ada di dalam beg tersebut ialah seunit telefon bimbit, kunci kereta, kunci rumah dan kunci pejabat.

”Semalam, kita telah berjaya menahan dua suspek itu dan seorang lagi lelaki yang turut terlibat berusia 18 hingga 39 tahun itu di sekitar daerah Kulim antara pukul 4.00 hingga 6.00 petang. Kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.