Siakap Keli

Hadiah Istimewa Menanti Pengunjung Pertama Di Lima Muzium Kedah

ALOR SETAR, 30 Jun — Lembaga Muzium Negeri Kedah menawarkan hadiah istimewa kepada pengunjung pertama di lima muzium kelolaannya yang akan beroperasi semula esok.

Pengarah Muzium Kedah Suhaidi Shukri berkata Muzium Negeri Kedah, Muzium Diraja Kedah, Muzium Padi, Balai Seni Negeri dan Rumah Warisan (Rumah Tok Su dan Rumah Sri Banai) akan mula dibuka pada 9 pagi hingga 5 petang.

“Pemberian hadiah ini sebagai menghargai pengunjung yang datang menyokong kembali pembukaan muzium kita sekali gus dapat menyemarakkan minat mereka untuk melawat muzium dan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Kedah,” katanya pada sidang media di Muzium Padi di sini, hari ini.

Selain itu, Suhaidi berkata pihaknya akan memberikan hadiah secara rawak kepada pengunjung bertuah selepas 1 Julai.

“Mungkin akan ada hadiah kepada pengunjung ke-100 dan ke-10,000,” katanya yang turut memberitahu kesemua muzium itu hanya dibuka pada Selasa hingga Ahad.

Beliau berkata muzium itu ditutup setiap hari Isnin untuk kerja pembersihan dan sanitasi bagi proses menyahkuman dalam usaha memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung sentiasa terjamin.

Katanya beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi antaranya had umur pengunjung ditetapkan dari 13 hingga 60 tahun sahaja selain jumlah pengunjung mestilah hanya seramai antara 15 hingga 20 orang dalam satu masa yang bergantung kepada keluasan muzium.

“Lawatan berkumpulan tidak dibenarkan buat masa ini, pelawat juga hanya warga tempatan dan tiada pemandu lawatan disediakan dengan pergerakan pengunjung sentiasa dipantau.

“Pelawat diwajibkan menjalani imbasan suhu badan dan mereka yang melebihi 37.5 darjah celcius tidak dibenarkan masuk, bagi mereka yang menghidap penyakit kronik dinasihatkan supaya tidak memasuki galeri pameran,” katanya.

Suhaidi berkata pihaknya menyasarkan 100,000 pengunjung melawat kesemua muzium itu bagi tempoh Julai hingga Disember nanti.

Sumber: BERNAMA

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.