Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Jurutera Tular Didakwa Memandu Mabuk, Cederakan Pesara Polis

Kuala Lumpur: Seorang jurutera yang tular dalam media sosial berhubung kejadian merempuh sebuah kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang pesara polis cedera.

S.Surintheran, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta telah memandu kenderaan itu di bawah pengaruh alkohol sebanyak 243 miligram (mg) /100 mililiter iaitu melebihi 163mg/100ml daripada had yang dibenarkan dalam 100 mililiter darah melebihi had yang ditetapkan iaitu 80mg dan telah gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan terhadap dua kenderaan dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelanggan di Gerai Medan Selera Taman Melawati iaitu Mohd Rose Hassan, 63 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di persimpangan Jalan Bandar Melawati di Lorong Perak, Taman Melawati di sini pada 8.30 malam, 26 Jun lepas mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam A.Venkateswari memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

”Anak guam saya mempunyai dua anak yang masih kecil dan dia juga menjaga ibu bapanya yang sudah tua. Saya mohon jaminan dibenarkan kerana ini adalah kesalahan pertama anak guam saya,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.