IPOH, 30 Jun (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama keluarga dan rakan di sungai Kampung Loh Karai, Sungai Siput kira-kira 50 kilometer dari sini, petang ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden yang menimpa Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin pada 2.06 petang.
Beliau berkata sejumlah 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat yang turut dibantu lima anggota polis dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Ketika ini, anggota bomba sedang melakukan operasi pencarian di permukaan di kawasan mangsa dipercayai lemas dan di sekitar tebing sungai,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini.
Sumber: BERNAMA