Siakap Keli

Kerajaan Fokus Tambah Baik Liputan Rangkaian Internet Di DUN Chini

Kerajaan bakal menambah baik liputan rangkaian internet di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kualiti liputan dan capaian internet, sekaligus membolehkan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh menerusi perkhidmatan lebih pantas dan berkualiti.

“Bagi menambah baik liputan internet di Chini, 10 menara baharu bagi perkhidmatan 4G akan dibina manakala 11 menara sedia ada akan dinaik taraf dari 2G dan 3G kepada perkhidmatan 4G.

“Untuk perkhidmatan jalur lebar tetap pula, sebanyak 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga (copper) sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, inisiatif penaiktarafan yang akan dilaksanakan Telekom Malaysia Berhad tersebut dijangka siap menjelang hujung tahun 2021.

Selain itu, dua (2) stesen pemancar di menara sedia ada di Chini dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai telah dinaik taraf perkhidmatan 3G dan 4G pada suku kedua 2020.

“Sebuah menara baharu dengan perkhidmatan 3G dan 4G juga telah dibina dan telah beroperasi semenjak suku kedua 2020,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, proses menaik taraf dan peluasan liputan internet telah dijalankan pihak pemberi perkhidmatan dengan menempatkan Pemancar Telekomunikasi Bergerak (Mobile Portable Base Station) secara sementara.

Dalam masa sama, menara-menara sedia ada telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G secara kekal, bertujuan menampung khalayak yang berkunjung ke Chini terutamanya kawasan rancangan penempatan FELDA.

Sumber: KKMM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.