Siakap Keli

Normalkah Si Manja Tidur Lama? Ini 5 Situasi Ibu Bapa Perlu Kejutkan Bayi Jika Mereka Tidur Terlalu Lama

Kredit: Google
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Melihat bayi tidur lena pasti menenangkan hati ibu yang menjaga. Umum mengetahui bayi memerlukan tidur yang lebih lama berbanding orang dewasa.

Namun, ada masanya ibu bapa perlu berwaspada jika bayi anda tidur lebih lama dari selalu. Berikut adalah beberapa situasi dikongsikan Hello Doktor di mana ibu bapa perlu membangunkan bayi yang tidur terlalu lama. Mari baca.

Persoalan: Bayi sering tidur normalkah?

Sama ada memiliki bayi baru lahir atau kanak-kanak, pastinya ada di antara ibu bapa yang ingin mengetahui jika si manja tidur terlalu banyak.

Malahan ada bayi terlalu mudah tidur sehingga ibu bapa risau.

Pastinya akan timbul persoalan bagaimana dengan perkembangan si manja yang lain; bila bayi akan belajar duduk, merangkak, bertatih, bercakap atau berjalan, jika hanya memejamkan mata.

Jadi persoalannya sekarang, bayi sering tidur normalkah? Atau ia sesuatu yang perlu dirisaukan?

Waktu tidur bayi

Bayi baru lahir sememangnya memerlukan tidur yang banyak.

Malahan ada yang menyatakan 2 hingga 3 bulan pertama bayi akan dipenuhi dengan perkembangan pesat, sebab itu mereka memerlukan tidur yang banyak.

Melainkan si kecil tidak bangun langsung walaupun untuk menyusu, maka tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Untuk minggu-minggu pertama, ia 1 perkara biasa untuk mengejutkan bayi menyusukannya bagi setiap 2 hingga 3 jam sekali dan si kecil mungkin akan kembali tidur selepas itu.

Umumnya, bayi yang baru dilahirkan akan tidur sekitar 14 hingga 18 jam sehari, secara purata.

Bahkan ada bayi yang tidur lebih daripada itu dan hanya bangun untuk tempoh 30 minit atau kurang. Tidak kira malam atau siang.

Pastinya persoalan bayi sering tidur normalkah atau tidak tetap bermain di fikiran, bukan?

Jika si manja tidur terlalu lama pada waktu siang dan berjaga malam, ia mungkin kerana bayi anda masih keliru tentang siang dan malam.

Kepastian: Bayi sering tidur normalkah atau tidak?

Apabila bayi tidur untuk tempoh 13 hingga 15 jam sehari, ia dianggap sebagai tempoh normal. Ia biasanya bergantung kepada usia bayi anda.

Seorang bayi secara umumnya akan tidur 11 hingga 12 jam pada waktu malam dan 2 hingga 3 jam untuk tidur siang.

Ada juga sesetengah bayi yang tidur 12 jam pada waktu malam dan 4 jam pada waktu siang. Selalunya, keadaan ini tidak perlu dibimbangkan.

Tidak dinafikan, waktu tidur bayi itu kedengaran lama. Namun tempoh 12 jam tidur yang berkualiti bersama 2 jam tidur pada waktu siang adalah bagus.

Bahkan masih ada masa untuk si manja belajar berguling, merangkak, berjalan mahupun bercakap.

Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk memantau tingkah-laku mereka dan memastikan segalanya berjalan lancar.

Bukankah bagus untuk anda dapat tidur dengan lebih lama, wahai ibu-ibu sekalian?

Jawapannya tidak, jika bayi yang berusia 6 bulan masih tidur seperti bayi baru lahir dan sukar berjaga pada waktu siang untuk tempoh lebih sejam.

Dapatkan rundingan doktor jika keadaan ini berlaku kerana mungkin ada masalah kesihatan yang menyebabkan bayi tidur lama.

Ada 5 keadaan yang mungkin memerlukan anda untuk mengejutkan si kecil daripada tidur, seperti:

Untuk keselamatan

Jika bayi tidur dalam persekitaran berbahaya, adalah lebih baik untuk mengejutkan mereka.

Keadaan paling selamat untuk bayi tidur adalah secara menelentang dan tanpa ada barang-barang di sekelilingnya.

Tidur siang lama

Tempoh tidur siang yang disarankan adalah tidak melebihi 3 jam sehari. Tetapi pastinya ada masa-masa tertentu si kecil akan tidur lebih lama daripada tempoh tersebut.

Namun jika bayi asyik lama tidur siang, ia boleh menjejaskan waktu tidur bayi pada malamnya.

Keliru siang dan malam

Normal untuk si manja yang baru lahir keliru tentang waktu siang atau malam.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna anda boleh membiarkan bayi tidur siang berterusan sehingga 8 jam. Nanti anda pula merungut kenapa bayi berjaga waktu malam!

Untuk membantu bayi mengenal waktu siang dan malam, bangunkan mereka pada waktu siang agar irama sirkadian – perubahan fizikal, mental dan tingkah-laku mengikut kitaran harian – dapat diselaraskan.

Berjaga malam

Jika anak anda mengalami masalah berjaga pada waktu malam atau insomnia, pastinya apa yang boleh dilakukan adalah membenarkan dia tidur pada keesokan paginya.

Tetapi sampai bila anda harus membiarkan kitaran seperti ini berlaku setiap hari? Maka anda perlu melakukan perubahan untuk mengatasi masalah berjaga malam ini.

Peralihan waktu tidur

Untuk mengatasi isu peralihan waktu tidur, maka wujud keperluan untuk mengejutkan si kecil daripada tidur siangnya.

Situasi itu dalam membantu mengelakkan anak berdepan masalah tidur malam terlalu lewat.

Apabila bayi membesar menjadi kanak-kanak, keperluan tidurnya akan berkurangan.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah kanak-kanak sudah terbiasa tidur siang untuk tempoh 3 jam dan masih boleh lena awal pada waktu malam.

Jadi bayi atau kanak-kanak yang kerap tidur, adalah 1 keadaan normal. Melainkan, jika aktiviti tidurnya itu membuatkan dia tiada masa untuk melakukan aktiviti kemahiran motor dan kognitif.

Sekiranya itu keadaan yang baby anda alami, disarankan untuk mendapatkan rundingan dan nasihat doktor.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.